'Ada pegawai lantikan politik sombong, selesa duduk pejabat'
SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mendedahkan ada pegawai lantikan politik termasuk setiausaha politik kepada menteri yang bersikap sombong kepada ahli parti sendiri dan lebih 'selesa' berada di pejabat.
Ketua Pemudanya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, segelintir pegawai lantikan politik kepada menteri ini juga dilihat gagal turun padang membawa agenda kementerian dan menteri diwakili.
"Saya berterus terang, ada setiausaha politik kepada menteri setahun setengah bulan baru hanya sekali turun di kawasan menteri beliau wakili, apatah lagi kawasan lain mungkin tidak pernah sampai.
"Tugas pegawai lantikan politik bukan semata-mata di pejabat sebaliknya membawa agenda kementerian dan menteri diwakili dengan sering turun padang ke kawasan akar umbi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Menurutnya, senario itu menyebabkan inisiatif kejayaan dicapai menteri terbabit tidak sampai kepada rakyat sekali gus memperlihatkan kerajaan gagal menyampaikan maklumat positif kepada mereka.
"Kalau kita lihat ada menteri yang mempunyai rekod kejayaan pencapaian manifesto cemerlang tetapi tidak sampai kepada rakyat.
"Kelak rakyat akan mempersoalkan apakah peranan menteri sedangkan maklumat tidak sampai kerana sikap pegawai-pegawai sebegini," katanya.
Katanya, pegawai lantikan politik kepada menteri juga diingatkan jangan sombong dengan kuasa yang ada kerana pelantikan adalah hasil jerit perih pengorbanan ahli Amanah memenangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, kesemua kepimpinan Amanah terlibat dalam pentadbiran kerajaan PH ketika ini adalah disebabkan sokongan rakyat.
"Justeru, saya mengingatkan semua pegawai lantikan politik jangan sombong dengan kuasa yang ada.
"Parti hanya mempunyai tempoh tiga tahun setengah untuk kumpulan ini memulihkan kembali keegoan masing-masing. Jangan sampai rakyat marah kerana keegoan kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!