43 maut kebakaran kilang bagasi di New Delhi

Suasana di lokasi bertukar kecoh apabila saudara-mara dan penduduk tempatan mula mengerumuni lokasi kebakaran.
Suasana di lokasi bertukar kecoh apabila saudara-mara dan penduduk tempatan mula mengerumuni lokasi kebakaran.
A
A
A

NEW DELHI - Seramai 43 orang dilaporkan maut dalam kebakaran sebuah kilang pembuatan bagasi terletak di kawasan sesak utara New Delhi, India hari ini.

Kebanyakan mangsa yang maut dalam kebakaran pada jam 5.22 pagi (waktu tempatan) itu merupakan buruh yang sedang tidur dalam kilang yang terletak di Anaj Mandi.

Menurut pihak berkuasa, punca kebakaran masih disiasat, sementara itu dilaporkan lebih 50 orang berada dalam kilang berkenaan yang beroperasi di kawasan perumahan ketika kebakaran berlaku.

Sejumlah 30 trak bomba dikerah ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran yang dipercayai berpunca dari bengkel kilang terbabit.

Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF) kini berada di lokasi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat selain memastikan tiada mangsa terperangkap.

Sementara itu, suasana di lokasi bertukar kecoh apabila saudara-mara dan penduduk tempatan mula mengerumuni kawasan terbabit.

"Saya mendapat panggilan mengatakan abang saya cedera dalam kebakaran itu. Saya tidak tahu dia dibawa ke hospital mana," kata seorang pemuda bernama Manoj yang abangnya bekerja di lokasi kejadian.

Mangsa yang diselamatkan segera dikejarkan ke beberapa hospital berhampiran dan doktor mengesahkan punca utama kematian adalah disebabkan terhidu asap dan sesak nafas.

Artikel Berkaitan:

Laporan agensi berita PTI pula menyebut, terdapat beberapa yang ditemui rentung.

Dalam pada itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi menyifatkan insiden sebagai amat mengerikan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!