Klopp lega di sebalik kejayaan Liverpool baham Bournemouth

Klopp akui gembira The Reds akhirnya tidak bolos selepas dua bulan. Foto: Premier League
Klopp akui gembira The Reds akhirnya tidak bolos selepas dua bulan. Foto: Premier League
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menghela nafas lega selepas dua bulan akhirnya The Reds mencatat clean sheet ketika menjinakkan Bournemouth 3-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Dean Court, semalam.

Menurut bekas pengendali Borussia Dortmund itu, beliau gembira kerana Alisson Becker berjaya memastikan gawang pelawat tidak bolos untuk kali ketiga pada saingan musim ini.

"Sejujurnya bukan tugas mudah memastikan sesebuah kelab itu konsisten tidak bolos pada saingan liga kompetitif seperti ini.

"Saya puji karakter dan kualiti dipamerkan Alisson pada perlawanan ini tampil lebih berkeyakinan mengawal penuh setiap penjuru gawangnya," katanya.

Kemenangan di laman lawan itu melebarkan lagi momentum kemenangan Liverpool pada saingan liga perdana apabila meraih 46 mata selepas mengharungi 16 perlawanan.

Menentang The Cherries, The Reds meledak dua gol awal menerusi

Alex Oxlade-Chamberlain dan Naby Keita sebelum Mohamed Salah menoktahkan kemenangan kelab dari Merseyside tersebut.

Pada masa sama, Klopp mengakui adalah sukar untuk mengekalkan tahap konsisten itu biarpun berjaya mengekalkan gawang dari dibolosi gol lawan kali ini.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan seperti ini tidak akan kekal berterusan tapi sejujurnya ia cukup menarik. Saya akan pastikan pemain-pemain memberikan komitmen terbaik mereka.

"Tiada momen terindah untuk penjaga gol dan pertahanan selain memastikan gawang kelab tidak dibolosi sepanjang perlawanan," katanya.

Kali terakhir Liverpool tidak dibolosi adalah ketika bertandang ke Bramall Lane menentang Sheffield United pada 28 September lalu yang menyaksikan pelawat menang 1-0.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!