Penyu tersangkut pukat diselamatkan penunggang basikal
DUNGUN - Tindakan pantas sekumpulan penunggang basikal berjaya menyelamatkan seekor anak penyu yang tersangkut pada pukat dan dihanyutkan di Pantai Batu Pelanduk, Kuala Dungun di sini Jumaat lalu.
Tengku Shaiful Anuar Tengku Mohd Arif, 48, dari Abih Reng Cycling Team berkata, kejadian menimpa anak penyu itu disedari seorang ahli kumpulan berkenaan ketika sedang mengambil gambar sebaik tiba di lokasi itu.
"Kebetulan pula tengah sibuk swafoto di pantai itu dia ternampak seekor anak penyu tersangkut pada pukat hanyut.
"Tanpa melengahkan masa kami bersama-sama cuba meleraikan tali pukat daripada terus menjerut anak penyu itu," katanya.
Tengku Shaiful yang juga ketua kumpulan berbasikal itu berkata, mereka mengambil masa dalam 10 minit untuk melepaskan anak penyu itu daripada pukat berkenaan.
"Anak penyu dipercayai spesies penyu karah kelihatan lemah selepas berjaya dilepaskan. Tidak dapat dipastikan sudah berapa lama tersangkut pada tali pukat.
"Apa yang pasti memang penyu ini amat bernasib baik kerana berjaya diselamatkan dan tali yang menjerut keseluruhan badannya tidak begitu kuat," katanya.
Menurutnya, penyu itu berjaya berenang ke laut walaupun pada mulanya pergerakannya kelihatan agak terhad.
"Alhamdulillah, penyu itu berjaya diselamatkan dan dilepaskan ke laut. Kami bertujuh benar-benar teruja dan gembira kerana berjaya menyelamatkan seekor hidupan yang kini sedang terancam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!