'Saya pemaaf, tak akan pecat Azmin'

Anwar ketika bercakap pada sidang media selepas berakhirnya Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Anwar ketika bercakap pada sidang media selepas berakhirnya Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

MELAKA TENGAH - Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak akan dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meskipun tidak hadir pada hari terakhir Kongres Nasional parti itu hari ini.

Perkara itu disahkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang akhbar selepas berakhirnya Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini.

"Perkara ini tidak berbangkit. Hal ini hanya disuarakan oleh perwakilan, tidak ada pimpinan yang memberi respons setuju.

“Saya tidak ada masalah untuk berbincang tapi masalah yang disuarakan kuat adalah sentimen parti mahu bersatu, tidak bertolak ansur dengan apa yang mereka anggap menyimpang daripada disiplin.

“Seperti mana saya lihat ucapan Tian Chua umpamanya perlu lebih penjelasan, kita kena faham sentimen itu juga bersebab, kita fikir mereka harus dengar kita tapi mereka kata kita pun harus dengan mereka,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar gagal penuhi janji, kata Azmin

Terdahulu, saranan memecat Timbalan Presiden PKR itu disuarakan kebanyakan perwakilan yang hadir susulan ketidakhadiran Mohamed Azmin dan ahli majlis pimpinan yang menyokongnya pada hari terakhir kongres.

Ditanya adakah beliau bersedia untuk memaafkan Mohamed Azmin atas tindakannya itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau sedia untuk memaafkannya.

Artikel Berkaitan:

“Saya ini pemaaf, lagi pun itu bukan soal peribadi, tapi saya kena dengar juga suara dan sentimennya. Tadi saya jawab, saya dengar hasrat mereka (perwakilan) jadi kena bagi ruang sikit,” katanya.

Hari terakhir Kongres Nasional PKR hari ini bermula tanpa kehadiran Mohamed Azmin yang juga merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi serta pimpinan yang menyokong orang kanan Anwar itu.

Sebaliknya, ketibaan Anwar bersama Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hanya disambut Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Semalam, Mohamed Azmin yang mengadakan sidang media tergempar selepas meninggalkan sesi perbahasan, mendakwa Anwar gagal memenuhi janji memastikan pembahas patuh pada kerangka ucapan dipersetujui dalam mesyuarat khas antara mereka di bangunan Parlimen, Rabu lalu.

Berikutan itu, seramai 22 Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR yang dikatakan menyebelahi pihaknya bersama ratusan perwakilan keluar meninggalkan sesi perbahasan.

Dalam pada itu, Anwar juga memaklumkan beliau turut dijemput ke Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama di Hotel Renaissance di Kuala Lumpur, namun tidak dapat menghadirinya kerana mempunyai komitmen lain.

"Tak datang malam ni. Jemput dua hari yang lalu (tapi) saya bagitahu saya ada majlis setiap Ahad malam di rumah saya. Sila datang, terbuka, kita ada sembahyang, zikir sedikit," katanya.

Majlis berkenaan akan dihadiri oleh Mohamed Azmin; Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Ali Biju; Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha serta Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Hilman Idham.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!