Timbang penyatuan untuk perkukuh industri pembinaan kapal: Anthony

Anthony Loke -Foto Bernama
Anthony Loke -Foto Bernama
A
A
A

LONDON - Syarikat pembuatan kapal tempatan boleh menimbang penggabungan bagi mencapai skala ekonomi yang lebih baik di tengah-tengah persekitaran yang mencabar, yang mendorong penggabungan mega dan pakatan antara kuasa besar dalam sektor itu di seluruh dunia, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

"Pemain domestik wajar mengambil petunjuk daripada trend yang lebih besar di peringkat global. Bagaimanapun, langkah itu mestilah merupakan keputusan industri dan bukan kerajaan.

"Penggabungan dan pengambilalihan sepatutnya berlaku secara semula jadi, kami (kerajaan) tidak mengambil tindakan atau keputusan untuk memaksanya. Kami mengambil pendekatan secara manual," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Anthony percaya bahawa pemain industri cukup bijak, terutama dalam mempertimbang aspek komersil dalam membuat keputusan sedemikian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perjanjian yang ditandatangani antara Perbadanan Labuan dan anak syarikat Nam Cheong Ltd, Nam Cheong Dockyard yang berpusat di Kuala Lumpur yang akan memindahkan kegiatan fabrikasi dan pembinaan bangunan sedia ada di Batam, Indonesia dan China ke Labuan mulai 1 Januari depan.

Beliau berkata, Malaysia sebagai ekonomi terbuka mengalu-alukan pelaburan asing.

Dari perspektif Malaysia, kerajaan dan industri perlu memastikan syarikat terus kompetitif.

"Anda harus menerima hakikat bahawa akan ada persaingan di pasaran. Kita tidak boleh melarikan diri daripadanya.

Artikel Berkaitan:

"Sudah ada dasar yang ditetapkan untuk melindungi kepentingan tempatan dan dari segi pegangan kepentingan, pelesenan, yang saya yakini cukup untuk menjaga dari segi kelangsungan hidup syarikat," katanya.

Mengulas mengenai pelan induk perkapalan Malaysia, Anthony berkata, pelan tindakan serta penubuhan Majlis Pelabuhan dan Perkapalan Nasional (NSPC) merupakan usaha berterusan dan sebagai platform untuk kerajaan merumuskan pelan tindakan yang lebih baik dan mengambil maklum mengenai isu-isu dalam industri ini.

"Ia juga merupakan platform untuk semua pihak berkepentingan dalam sektor maritim untuk memberikan input kepada kerajaan dan kami akan ada di sini untuk jangka masa panjang dan anda tidak boleh mengharapkan perubahan dilakukan dalam jangka masa pendek," katanya sambil menekankan bahawa kerajaan memerlukan maklum balas daripada pemain industri untuk menggerakkan industri tersebut.

Beliau berkata, kerajaan bersedia menyediakan lebih banyak insentif untuk memacu industri, namun pentadbiran memerlukan lebih banyak maklumat mengenai insentif yang diperlukan oleh industri itu.

"Dengan ada banyak input, kami boleh membincangkan lebih lanjut cara untuk meningkatkan kapal Malaysia, kaedah untuk menambah saiz kapal.

"Ini tidak boleh dipaksa dan kerajaan hanya memainkan peranan sebagai pemudah cara. Oleh itu, kita perlu sediakan insentif dan dasar yang lebih baik. NSPC hanya permulaan dan kami hanya bertemu dua kali atau tiga kali sebelum ini," katanya.

Jumlah muatan industri perkapalan Malaysia telah meningkat dengan ketara kepada 12 juta tan (DWT) pada 2011 daripada 1.87 juta DWT.

Perkembangan ini mengambil masa kira-kira 30 tahun dengan mengambil kira semua cabaran yang dihadapi oleh industri perkapalan Malaysia.

Pada masa ini, industri perkapalan telah merosot kepada kira-kira sembilan juta DWT disebabkan oleh cabaran seperti kadar tambang rendah dalam perniagaan maritim.

Mengenai dana pengangkutan awam yang diurus oleh Bank Pembangunan Malaysia Bhd, Loke menjelaskan bahawa tidak banyak permohonan yang diterima daripada industri perkapalan, justeru kerajaan kini aktif berbincang dengan Bank Pembangunan untuk melihat cabaran yang dihadapi oleh pemohon.

"Kami sentiasa berunding dengan Bank Pembangunan bagi melihat sama ada orang ramai dan pasaran memperoleh maklumat yang mencukupi atau terlalu banyak birokrasi yang tidak dapat dipenuhi oleh pemohon atau syarat yang sukar dipenuhi oleh pemohon. Inilah isu yang perlu kita semak dari semasa ke semasa dan sudah pasti kami bekerjasama dengan Bank Pembangunan untuk melihatnya, sejajar dengan dasar kerajaan.

"Kami ada jawatankuasa kecil NSPC bagi pembiayaan untuk perkapalan. Isu ini dibincangkan di peringkat jawatankuasa kecil dan kami berharap ahli majlis, yang terdiri daripada pemain industri akan menyebarkan maklumat mengenai dana itu. Kita ada wakil Persatuan Pemilik Kapal Malaysia sebagai ahli majlis, oleh itu wajarlah mereka bertindak balas," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!