Cabaran Malaysia di Piala Dunia Teqball berakhir di saingan suku akhir
WALAUPUN teqball masih belum dikenali ramai di Malaysia, namun dengan prestasi memberangsangkan pemain kebangsaan, Al Barilan Shahul Hameed, di Piala Dunia 2019, sudah pasti mampu membawa sukan ini berkembang lebih jauh.
Pada aksi di Piala Dunia yang berlangsung dari 6 hingga 8 Disember di Budapest, Hungary, pemain berusia 21 tahun itu menamatkan saingan di peringkat suku akhir selepas ditewaskan pemain Algeria, Fetih Larit 1-2.
Presiden Persatuan Teqball Malaysia (MTA), KJ Siva ketika dihubungi Bernama berkata, Al Barilan telah mempamerkan aksi yang cemerlang dengan memberikan saingan sengit kepada pihak lawan.
"Anda membanggakan kami Ash (Al Barilan) dengan memberi tentangan sengit terhadap satu daripada lawan terbaik dalam Teqball Piala Dunia. Sungguh pun Malaysia kalah 1-2 kepada Algeria, namun kita sememangnya meninggalkan impak di pentas global apabila berjaya sampai ke pusingan 16.
"Keletihan dan cuaca menjadi cabaran kepada mana-mana atlet dan pemain beregu serta pemain perseorangan kami menentang beberapa pemain terbaik di dunia. Kita kini boleh mencungkil dan menggilap lebih banyak bintang Teqball bagi 2020," katanya.
Teqball merupakan sukan yang menggabungkan sukan ping pong dan bola sepak dengan dimainkan di atas meja berbentuk cembung menggunakan bola menyerupai bola sepak.
Cara bermain adalah bola boleh dipukul dengan sebarang bahagian badan kecuali tangan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!