Dulu dia seperti kanak-kanak lain, tapi kini...
TEMERLOH - Kehidupan seorang remaja di Kampung Paya Luas di sini berubah sekelip mata selepas terlibat kemalangan jalan raya pada Mac lalu.
Jika sebelum ini, Nurul Elyana Shamimi Zulkifli, 13, menjalani kehidupan sebagaimana remaja seusianya namun selepas terlibat kemalangan, segalanya berubah waima menguruskan diri sendiri juga sudah tidak boleh dilakukannya.
Lebih menyedihkan, remaja itu hilang ingatan dan tidak mampu lagi bertutur.
Ibunya, Sarina Mohd Najib, 36, berkata, keadaan itu terjadi selepas anak bongsu daripada dua beradik itu dirempuh kereta ketika sedang melintas jalan menuju ke kedai berhampiran di Paya Pulai pada 18 Mac lalu.
“Akibat kemalangan itu, Nurul Elyana Shamimi mengalami kecederaan patah tulang rusuk dan kepala menyebabkannya koma,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Sarina berkata, dia dan suami, Zulkifli Musa, 39, reda dengan nasib menimpa anak perempuan mereka itu walaupun sedih dengan keadaan Nurul Elyana Shamimi yang sudah tidak seperti dulu.
“Memang keadaan dia tidak seperti dulu lagi. Dia hilang ingatan yang teruk dan masalah dalam pertuturan.
“Dia jadi pelupa, tidak ingat apa-apa termasuk benda dimakan. Kena bagi tahu sepanjang masa, kena ajar gosok gigi hari-hari, pakai baju pun sama sebab ada masa pakai terbalik,” katanya.
Sarina berkata, keadaan yang menimpa anaknya memerlukan penjagaan sepenuh masa.
“Saya tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya dengan pendapatan suami yang bekerja pemandu lori.
“Anak sulung saya yang berusia 18 tahun tidak menyambung pengajian kerana tidak mahu membebankan suami selain ingin membantu menguruskan keadaan adiknya,” katanya.
Bagi sesiapa yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN),0640029000319231 atas nama Sarina Mohd Najib atau menghubungi talian 014-5252410.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!