Jeti Tan siap dibaik pulih 15 Disember ini

Kon Yeow (kanan) diringi ADUN Pengkalan Kota, Danial Gooi melawat tapak jeti yang dibaik pulih tadi.
Kon Yeow (kanan) diringi ADUN Pengkalan Kota, Danial Gooi melawat tapak jeti yang dibaik pulih tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerja membaik pulih lantai di Jeti Tan di sini yang menelan kos sebanyak RM175,035 dijangka akan siap sepenuhnya pada 15 Disember ini.

Penolong Jurutera Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut, Nur Fariza Othman berkata, jeti sepanjang 500 meter itu mengambil masa tujuh minggu untuk menukar tiang yang telah rosak.

Menurutnya, papan lantai jeti itu yang rosak juga ditukar baharu menggunakan kayu jenis sama iaitu cengal batu.

"Jeti ini melibatkan 192 tiang dan 400 meter keseluruhannya. Projek ini bermula pada 21 Oktober lalu dan mengambil masa tujuh minggu untuk siap sepenuhnya.

"Pada waktu ini, kerja membaik pulih siap antara 80 hingga 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 15 Disember ini," katanya kepada media tadi.

Terdahulu, Nur Fariza mengiringi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow meninjau kerja-kerja membaik pulih Jeti Tan di sini tadi.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerja membaik pulih jeti berkenaan adalah di bawah Projek Mesra Rakyat melalui peruntukan Parlimen Tanjung.

Menurutnya, jeti tersebut telah beberapa kali dibaikpulih setelah pihaknya menerima aduan daripada penduduk sekitar.

Artikel Berkaitan:

"Setiap ahli Parlimen akan menerima peruntukan sebanyak RM3 juta untuk melaksanakan projek-projek di kawasan masing-masing. Wang peruntukan itu perlu dihabiskan untuk kepentingan rakyat kerana ia ada tempohnya yang mana tidak boleh dibawa ke tahun hadapan.

"Oleh itu, apabila kita terima aduan mengenai jeti ini, pejabat saya membuat permohonan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan ia diluluskan," katanya.

Kon Yeow berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan beberapa pihak termasuk pertubuhan dan sekolah sekiranya mereka memerlukan bantuan.

"Kita memang pro aktif dari segi melaksanakan projek kerana apabila sampai tempohnya, kita tidak mahu baki wang RM3 juta itu hangus begitu sahaja.

"Oleh itu, kita sentiasa berhubung dengan beberapa pihak sekiranya mereka memerlukan bantuan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!