Op Mega: Imigresen serbu tapak projek, rumah kongsi
ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah menahan 41 pendatang asing tanpa izin (Pati) pelbagai warganegara dalam 'Op Mega' di dua lokasi berasingan di sekitar Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.
Pengarahnya Zuhair Jamaludin berkata, dalam operasi disertai 31 anggota dan pegawai Imigresen pada jam 10.30 pagi hingga 1.30 tengah hari itu, pemeriksaan dijalankan di sebuah tapak projek perumahan dan rumah kongsi.
Zuhair berkata, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 56(1)(I) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1956/63 serta Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial atau pas kerja.
Beliau berkata, mereka kini ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik di Sik. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!