25 penjara di negara ini sesak, lebihi kapasiti
KOTA BHARU - Sebanyak 25 daripada 38 keseluruhan penjara di negara ini masih berdepan masalah kesesakan akibat jumlah banduan yang melebihi kapasiti.
Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, jumlah banduan yang sedang menjalani hukuman di penjara di seluruh negara adalah seramai 74,000.
“Jumlah itu melebihi kapasiti yang dapat ditampung iaitu 52,850 banduan.
“Setakat ini, seramai 32,000 banduan menjalani sistem parol dan hampir 5,000 mengikuti sistem kehadiran wajib yang banyak membantu masalah kesesakan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Pelancaran Pemasaran Produk Makanan dan Fabrik Jabatan Penjara Malaysia bersama Ko Ummah di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Persatuan Orang Kota Bharu, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya kini dalam proses membuat kajian memperkenalkan sistem banduan menjalani hukuman dalam masyarakat.
“Oleh sebab itu kita sedang laksanakan 'Prison Reform' untuk kenal pasti langkah untuk atasi masalah kesesakan di penjara termasuk banduan yang tidak berisiko menjalani hukuman dalam masyarakat.
“Kita sasarkan dalam tempoh mulai sekarang sehingga tahun 2030 masalah kesesakan banduan di penjara di negara ini akan dapat diatasi,” katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa juga sedang melihat semula pemindahan daripada sudut perundangan supaya banduan berkenaan dapat menjalani program pemulihan dalam masyarakat.
“Kita sasarkan dua per tiga banduan dapat jalani hukuman menerusi sistem ini dalam tempoh sebelum 2030.
“Sehingga kini pelbagai inisiatif yang sedang dijalankan pihaknya termasuk sistem parol dan sistem kehadiran wajib untuk mengatasi kesesakan di penjara,” katanya.
Dalam pada itu, produk dari penjara atau My Pride iaitu kek lapis, makanan sejuk beku, cucian dan hasil kraftangan berjaya mencapai sasaran RM38 juta hasil jualan berbanding RM35 juta tahun lalu.
“Penghasilan produk dari penjara oleh banduan ini adalah salah satu langkah persediaan kepada banduan agar dapat melangkah ke dunia usahawan dan meneruskan perniagaan mereka di dunia luar apabila dibebaskan kelak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!