Terima kasih abang posmen!
KULIM - "Terima kasih saudara Pos Malaysia." Itu kata-kata ikhlas dari pemilik akaun Facebook Busyra Mohmad merujuk kepada tindakan seorang posmen mengembalikan telefon bimbitnya setelah tercicir di jalan raya.
Posting yang dimuat naik pada September lalu kembali tular dan kegembiraan itu turut mendapat perhatian Pos Malaysia.
Bagaimanapun Busyra meminta maaf ekoran tidak menyedari Pos Malaysia menghantar mesej kepadanya pada 21 September lalu dan baru menyedari baru-baru ini.
"Maafkan saya pihak Pos Malaysia, hampir 3 bulan baru melihat 'mesengger'.
"Namun apa pun jutaan terima kasih kepada pemilik no plat kenderaan WB 7356 B. Alhamdulillah ALLAH temukan dengan insan yang akhlaknya baik.
"Telefon bimbit saya telah tercicir di jalan. Saudara ini, telah menjumpainya dan mengejar saya untuk memulangkannya semula.
"Tidak sempat bertanya nama saudara kerana hujan dan saudara tergesa-gesa pergi. Terima kasih sekali lagi, moga ALLAH balas kebaikan saudara," tulisnya.
Busyra juga berkongsi mesej dihantar oleh Pos Malaysia berhasrat untuk memberi penghargaan kepada staf tersebut selain memintanya bekerjasama untuk memberi maklumat diri bagi memudahkan pihak terbabit menghubunginya.
Perkongsian itu tular di media sosial hingga menarik perhatian netizen yang rata-rata memuji tindakan posmen itu yang disifatkan sangat jujur dan amanah.
Mohd Lufti Hadi Mohmad berkata, "Nasib dapat kat orang baik kalau dak hilang terus. Tahniah Pos Malaysia ada staf yang baik dan jujur."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!