Safiyah raih perak pertamanya dalam acara boling masters Sukan SEA
SELEPAS berhempas pulas sehingga ke frame penghujung untuk pingat emas pertamanya di Sukan SEA, pemain boling negara Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman akhirnya terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam saingan boling kategori wanita masters.
Pemain berumur 29 tahun itu menduduki tempat kedua dengan kekalahan tipis 213-194 jatuhan pin di tangan pemain Singapura, New Hui Fen di Coronado Lanes, Starmall EDSA, hari ini.
Muncul sebagai pencabar selepas menduduki tempat kedua dalam ranking masters, Siti Safiyah mengatasi Hui Fen dengan kelebihan dua pin dalam game ‘sudden death’ selepas kedua-dua pemain boling terikat dengan 190-190 dalam game pertama, ia kemudiannya berlarutan ke game penentuan, namun Siti Safiyah kemudiannya terkandas.
“Bila dah sampai ;stepladder finals; ini, memang saya nak pingat emas tetapi nasib kurang baik kerana terlepas. Bagaimanapun, saya gembira kerana ini merupakan pingat pertama saya bagi acara masters di temasya utama,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah di sini.
Terdahulu, Siti Safiyah berjaya ke pusingan stepladder finals selepas menduduki tangga kedua dengan 3,515 jatuhan pin dalam dua blok acara masters, manakala bekas juara Asia dari Singapura Hui Fen menerajui carta dengan 3,527 jatuhan pin dan rakan senegaranya, Shahyna Ng (3,496) di tempat ketiga.
Siti Safiyah, yang memenangi pingat perak dalam kategori pasangan bercampur bersama dengan Ahmad Muaz Fishol pada hari Khamis, kemudiannya mengenepikan Shahyna dengan 234-201 dalam separuh akhir.
Sementara itu juara masters Sukan SEA KL 2017 KL, Shalin Zulkifli dan Muhamad Rafiq Ismail gagal untuk mengekalkan gelaran masing-masing selepas gagal meletakkan diri dalam kelompok tiga terbaik stepladder final.
Pemain veteran, Shalin pada mulanya berada di landasan betul untuk masuk ke pusingan final, namun terlepas selepas menduduki tempat kelima dengan 3,415 jatuhan pin, diikuti oleh Sin LiJane (3,407) di tempat keenam dan Esther Cheah (3,342) di tempat kesembilan, dalam kelompok 16 pemain boling terbaik dalam cabaran masters.
Dalam kategori lelaki, tidak ada pemain boling berada dalam kelompok tiga terbaik, selepas jatuhan pin Ahmad Muaz Fishol terkurang 65 pin di belakang pemain tempat ketiga Ryan Leonard Lalisang (3,449) dari Indonesia, manakala Tun Hakim Tun Hasnul Azam (3,288) di tempat kelapan, diikuti dengan Timmy Tan (3,214) dan Muhammad Rafiq (3,197) masing-masing di tempat ke-11 dan 12.
Dengan berakhirnya pertandingan boling Sukan SEA ke-30 ini, kem Malaysia dilihat gagal mencapai sasaran meraih empat pingat emas, apabila mereka hanya mampu merangkul dua pingat emas, tiga perak dan dua gangsa.
“Saya rasa semua ahli pasukan telah memberikan 110 peratus tapi kita selalu terkandas dengan mata yang sedikit dan tidak jauh beza dengan pencabar lain. Kita juga menghadapi cabaran dengan lane,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!