Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat: Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution semasa ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Saifuddin Nasution semasa ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

MELAKA - Sidang perwakilan Kongres Nasional PKR 2019 dan pucuk pimpinan parti hari ini diingatkan bahawa kehadiran dalam mesyuarat parti adalah satu mandat dan tanggungjawab yang harus ditunaikan setiap pemimpin.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, untuk menterjemah mandat dan legitimasi kekuasaan yang diberi oleh parti dan rakyat, pemimpin mesti bermusyawarah.

Menurutnya, PKR sebagai sebuah parti yang mendokong agenda reformasi sentiasa melaksanakan prinsip itu dan pemimpin harus melakukannya.

“Untuk itu, setiap pemimpin harus tampil dalam mesyuarat. Di situ, kita menentukan setiap keputusan mengenai parti, dasar, polisi, disiplin dan masalah rakyat dibentangkan.

"Paling mudah adalah hadir ke mesyuarat, itu sahaja. Cakaplah dalam mesyuarat, bukan cakap dalam media,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang tamat hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada isu disiplin dan organisasi yang disentuh pembahas semasa sesi perbahasan ucapan dasar presiden semalam.

Saifuddin Nasution, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna turut mengulangi pendirian parti dan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang sudah bersetuju sebelum Pilihan Raya Umum bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri kelapan, mengambil alih kepimpinan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad apabila tiba masanya.

Setiausaha agung parti itu antara lain turut mengambil peluang memberi penjelasan kepada perwakilan mengenai isu pemecatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Zakaria Abdul Hamid yang didakwa terbabit dalam isu rasuah ketika pemilihan parti tahun lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!