Tayang kejayaan anak di media sosial
PADA zaman penulis di bangku sekolah sekitar tahun 1998 dulu, kejayaan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hanya diketahui oleh ibu bapa dan keluarga.
Itu pun tidak semua, memandangkan penulis ada 14 adik-beradik.
Waktu itu, individu paling jauh mendapat tahu khabar gembira tersebut ialah jiran sekampung yang kebetulan bertandang ke rumah untuk bertanya khabar.
Sekiranya ada ahli keluarga yang berada di luar negara, mungkin khabar gembira itu diketahui apabila pulang ke tanah air atau menerusi panggilan telefon.
Kini, perubahan era digital dengan jaringan perhubungan tanpa batasan menerusi media sosial telah merubah segala amalan terdahulu.
Perkongsian kejayaan anak-anak di media sosial terutama Facebook, WhatsApp, Instagram dan Twitter menjadi tradisi setiap kali tibanya musim pengumuman keputusan peperiksaan.
Ada yang beranggapan tidak wajar untuk menayang kejayaan anak-anak terutama melibatkan peperiksaan awam di media sosial.
Ada juga yang tidak senada, malah menganggap ia bukan satu kesalahan sebaliknya memberi inspirasi kepada individu yang lain.
Menurut Ketua Unit Kaunseling Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Rosni Mohammad, tidak salah ia dikongsi kerana mutakhir ini netizen menjadikan media sosial sebagai medium bacaan utama.
Bagaimanapun, katanya, ia hendaklah disertakan dengan niat memberi inspirasi kepada anak-anak untuk terus menikmati dan mencari kejayaan sekali gus membantu memberi inspirasi kepada orang lain yang melihatnya.
Katanya, ibu bapa perlu mengucapkan kata-kata positif pada anak-anak terutama apabila mereka mencapai kejayaan setelah berusaha gigih dalam pelajaran atau sesuatu bidang.
“Anak-anak akan rasa mereka lebih bersemangat untuk lebih berjaya kerana tahu bahawa penat lelahnya dihargai oleh ibu bapa, sahabat dan masyarakat
“Tidak dinafikan apabila mendapat respons like dan pujian daripada orang sekeliling mereka akan berbangga kerana semua menyayangi dan menghargai kejayaan yang dikecapi,” katanya.
Bangkit semula
Individu yang positif akan menukarkan segala rasa kecewa akibat kegagalan kepada satu semangat untuk bangkit daripada kekalahan.
Hasil pembacaan penulis, kesedihan anak-anak yang gagal itu merupakan petanda anak kita mempunyai emosi yang sihat, cuma sebagai ibu bapa hendaklah membantunya belajar mengurus emosi.
Mungkin ibu bapa boleh menyuntik semangat untuk berjaya setelah membaca tentang kejayaan anak-anak orang lain.
Latih mereka ambil positif untuk berusaha dan mengutip pelbagai tip kejayaan di laman sosial.
Anak-anak boleh mengambilnya sebagai sesuatu yang positif seterusnya menjadikan kejayaan rakan atau insan lain sebagai idola mereka.
Sementara itu, Rosni berkata, dari sudut psikologi, tahap keperluan penghargaan kendiri amat penting bagi anak-anak.
"Jadi, raikanlah kejayaan anak-anak dengan cara yang mereka suka. Ada sesetengahnya suka ibu bapa belanja mereka makan, memberi pujian, ada yang inginkan hadiah yang mereka idamkan," katanya.
Pakar juga berpendapat, setiap ibu bapa yang berwawasan mempunyai misi dan visi yang jelas tentang kejayaan anak-anak di mana ada antaranya berhempas pulas mencari nafkah, menghantar anak tuisyen, mengorbankan kualiti masa demi kejayaan anak mereka dalam pelajaran atau apa jua bidang yang diceburi.
Apabila anak-anak menunjukkan pencapaian yang membanggakan, mereka berasa puas dan bersyukur.
Sesetengah ibu bapa merakamkan momen bahagia itu di media sosial dan menayangkannya kepada umum sebagai tanda kepuasan di atas pengorbanan mereka yang berbaloi.
Mungkin sebelum ini banyak diterokai tentang petua-petua kejayaan anak-anak orang lain dalam laman sosial, maka setelah segala jerih payah pengorbanan dilalui kini ia jadi nikmat pula.
Bagaimanapun, cabaran dunia tanpa sempadan menuntut setiap individu untuk berpada-pada dalam setiap perkongsian di media sosial.
Jadi, sebagai ibu bapa, anda perlu ingat tidak perlu berlebihan memuji kejayaan anak-anak kerana dikhuatiri riak dan mengundang kecaman.
Perlu diingat juga bahawa tidak semua orang berfikiran positif apabila melihat kejayaan orang lain kerana mungkin akan ada reaksi kutuk mengutuk dan kecaman.
* Norhaspida Yatim ialah wartawan Sinar Harian Edisi Terengganu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!