CKJ Racing sapu bersih
PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing sapu bersih gelaran juara keseluruhan bagi dua kelas utama pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2019 yang menutup tirai di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Pasukan yang berpangkalan di Kemaman, Terengganu itu sudah ada alasan untuk berpesta selepas berjaya mendakap empat gelaran juara keseluruhan bagi kelas CP115 dan juga CP150.
Selain muncul juara keseluruhan kategori pelumba bagi kelas CP115 menerusi Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff, mereka juga membawa pulang mahkota keseluruhan bagi kategori pasukan.
Begitu juga dengan kelas CP150 yang menyaksikan mereka meraih mahkota keseluruhan bagi kategori pelumba menerusi Ahmad Afif Amran dan juga pasukan.
Ini merupakan musim cemerlang buat pasukan CKJ Racing meskipun pada awalnya mereka hanya meletakkan sasaran memburu satu gelaran sahaja, sebaliknya empat yang berjaya dibawa pulang.
“Ini adalah hasil kerja keras semua anggota dalam pasukan baik pengurusan pasukan, pelumba barisan jurutera serta para penyokong yang sentiasa memberi semangat kepada kami.
“Kami sangat mengutamakan disiplin dalam pasukan dan inilah hasilnya,” jelas pemilik CKJ Racing, Che Ku Jonaidi Che Ku Sin.
Menurutnya, mereka akan terus berpegang dengan budaya kerja yang telah diamalkan sejak sekian lama dalam pasukan bagi menjamin kestabilan serta keharmonian berterusan.
Pihaknya juga akan turut memberi fokus terhadap aspek pembangunan pelumba dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai pelumba berwibawa dalam pasukan pada masa akan datang.
Pada saingan musim ini, CKJ Racing menutup kempen dengan meraih 242 mata dalam kelas CP115 bagi kategori pasukan, sekali gus membolehkan mereka bergelar juara keseluruhan manakala dalam kelas CP150 pula, mereka meraih 249 mata.
Bagi kategori pelumba, Afif Amran berjaya mengumpul 167 mata untuk menjulang mahkota kelas CP150 manakala Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff yang menggenggam gelaran juara keseluruhan bagi kelas CP115, menamatkan kempen dengan 176 mata.
Bagi Syukran, ia momen paling manis dalam kariernya kerana penantian selama lima tahun untuk berada di puncak kejayaan akhirnya tercapai.
“Kemenangan ini sangat bermakna buat saya. Saya telah menunggu selama lima tahun dan akhirnya tercapai juga,” jelas Syukran.
Pada perlumbaan akhir hari ini, kelas CP115 dimenangi pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing, Md Adib Rosley dengan masa 11:24.147 saat (s) manakala tempat kedua dimenangi Md Syarifuddin Azman (Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing) dengan masa 11:24.172s.
Tempat ketiga dimiliki Ahmad Syukran dengan catatan masa 11:24.215s.
Bagi saingan akhir kelas CP150 pula, Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) tampil dalam kelas tersendiri untuk memenangi perlumbaan tersebut dengan masa 14:33.350s.
Ahmad Afif berada di kedudukan kedua dengan masa 14:33.454s manakala Md Muzakkir Mohamed (ONEXOX TKKR SAG Team) di tempat ketiga dengan masa 14:33.517s.
Dengan kemenangan hari ini, Azroy mengesahkan kedudukannya selaku naib juara keseluruhan kelas CP150 dengan 127 mata manaka pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz di tempat ketiga dengan 125 mata.
Aksi penutup tirai di SIC hari ini antara yang termeriah musim ini apabila lebih 8,000 penonton hadir untuk menyaksikan kejuaraan sukan dua roda paling berprestij negara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!