Aliff Danial pahat sejarah baharu
PELUMBA pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing, Aliff Danial Md Asri mencatat sejarah baharu dalam kariernya apabila muncul juara keseluruhan kelas Wira pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2019 yang menutup tirainya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Pelumba asal Tangkak, Johor itu meraih 145 mata keseluruhan menerusi penampilannya dalam 10 pusingan perlumbaan musim ini.
Meskipun dia sekadar menduduki tempat keempat pada perlumbaan akhir kelas Wira hari ini, tetapi ia sudah cukup untuk mengesahkan statusnya selaku juara keseluruhan.
Ini merupakan penampilan pertamanya dalam kelas Wira, tetapi prestasi yang dipamerkannya ternyata tidak menghampakan impian pasukannya.
“Kemenangan ini amat bermakna buat saya. Sesungguhnya, saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota pasukan yang telah bekerja keras untuk menyediakan jentera terbaik buat saya.
“Kejayaan ini juga telah memberi keyakinan kepada saya untuk terus memantapkan lagi prestasi pada musim depan,” jelas Aliff
Naib juara keseluruhan pula menjadi milik Md Zaki Ahmad Zaini (MOS William #LLRKS CYT Racing) yang meraih 133 mata manakala tempat ketiga dimenangi Awal M Al Fikri Yusni (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) dengan 120 mata.
Pada perlumbaan akhir kelas Wira hari ini, Abdullah Qayyum Abd Razak (AFB TECH Racing) menang dengan catatan masa 10:07.369 saat (s) diikuti Md Idlan Haqimi Radaun di tempat kedua dengan catatan masa 10:07.554s.
Tempat ketiga berada dalam genggaman Awal M Fikri dengan catatan masa 10:07.705s.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!