Zuraida, Azmin bersedia dipecat
KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali rela menjadi mangsa korban demi mempertahankan perjuangan parti reformasi itu.
Zuraida berkata, beliau bersedia dipecat ekoran tindakan lantangnya mengkritik Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka.
“Kalau kami dipecat, untuk kita baiki, saya dan Azmin sudah bersedia. Kami rela dikorbankan demi PKR. Kami nak bawa ke landasan yang betul.
“Kalau inilah Presiden nampak parti hebat dan gah, walaupun ada 50 ahli parlimen, tetapi pengurusan cacamarba. Siapa yang harus dipersalahkan?,” katanya pada Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Hotel Renaissance, hari ini.
Hadir sama di majlis itu, tiga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Ali Biju; ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, R Sivarasa; Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha; Timbalan Ketua Wanita PKR, Dr Daroyah Alwi dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Hilman Idham.
Pada ucapannya juga, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang meminta Anwar segera menyelesaikan krisis dalaman parti secara waras dan bijaksana.
Katanya, beliau tiada kepentingan dan telah menjalankan tanggungjawab sebagai anggota parti.
ARTIKEL BERKAITAN: Perwakilan keluar dewan luar kawalan, kata Anwar
“Saya tahu ucapan kita (malam ini) dirakam. Saya nak presiden dengar, supaya dia dapat berfikir menggunakan kewarasan beliau semula untuk bawa parti ke landasan yang betul
“Sebagai pemimpin, kita dipertanggungjawab di akhirat, dan itu menjadi pegangan saya.
“Ada perkara mengaibkan saya tidak boleh cerita. Tetapi saya dah jalankan tanggungajawab saya. Saya tidak mahu dipersoalkan di akhirat nanti,” katanya.
Beliau juga mendokan presiden dan bekas presiden diberikan kebaikan ketika pengakhiran bukannya keburukan.
Dalam pada itu, kata Zuraida, majlis pada malam ini adalah permulaan yang akan diteruskan pada siri jelajah seluruh negara yang akan dipimpin oleh Azmin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!