Lawatan ke Baitulmaqdis cetus kemarahan Palestin
BAITULMAQDIS - Kunjungan Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), John Bolton ke Kota Lama Baitulmaqdis telah mencetuskan kemarahan penduduk Palestin.
Bolton yang merupakan penyokong kuat tindakan kekerasan rejim Israel ke atas penduduk Palestin melawat Tembok Barat dan terowong bersebelahannya, semalam sebelum bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat turut mengutuk kunjungan Bolton yang diiringi rakan sejawatannya di Tel Aviv, Meir Ben-Shabbat dan Duta Israel ke AS, Ron Dermer yang didakwa menjejaskan undang-undang antarabangsa dan mempromosikan 'huru-hara'.
"Tindakan itu tidak akan mengubah fakta bahawa Baitulmaqdis Timur adalah ibu negara Palestin," tegasnya.
Menurut Erekat, isu tuntutan kedaulatan Israel ke atas Kota Lama itu adalah semata-mata bermotifkan politik dan tiada kaitan dengan agama. - Press TV
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!