Gunung berapi di New Zealand meletus tiba-tiba
WELLINGTON - Kira-kira 100 pengunjung berada berhampiran gunung berapi White Island di New Zealand ketika ia meletus secara tiba-tiba hari ini menyebabkan pihak berkuasa bergegas merawat mangsa cedera dan mencari mangsa hilang.
Perdana Menteri, Jacinda Ardern berkata, kepulauan volkanik yang juga dikenali sebagai whakaari itu meletus ketika kumpulan pengunjung sedang mengadakan lawatan.
"Tentunya doa dan ingatan kami bersama mereka yang terlibat," kata Arden kepada wartawan di Wellington sambil menambah sejumlah pengunjung dilaporkan masih hilang.
Datuk Bandar Whakatane, Judy Turner memberitahu AFP, terdapat beberapa orang cedera dan operasi menyelamat kini sedang dijalankan.
"Saya tidak tahu berapa ramai mangsa cedera atau tahap kecederaan mereka, namun pasukan kecemasan sedang berhempas pulas membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan," kata Turner.
Pihak St John Ambulance berkata, kira-kira 20 orang dipercayai cedera, namun pasukan perubatan masih dalam perjalanan.
Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan menggambarkan letusan sebagai sederhana meskipun asap tebal berwarna putih boleh dilihat dari jauh.
Sementara itu, kamera memaparkan rakaman langsung dari gunung berapi tersebut menunjukkan beberapa pengunjung berjalan berhampiran lereng gunung berapi pada jam 2.10 petang (waktu tempatan) sebelum imej menjadi gelap apabila letusan berlaku beberapa minit kemudian.
Terletak kira-kira 50 kilometer di luar pesisir Bay of Plenty, gunung berapi itu dikunjungi hampir 10,000 pengunjung setiap tahun.- AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!