Laluan utama ke Kota Tinggi ditutup sementara
KOTA TINGGI - Laluan utama memasuki bandar Kota Tinggi dan Jalan Kota Tinggi-Mawai di sini ditutup sementara ekoran kejadian banjir yang berlaku di daerah berkenaan sejak awal pagi tadi.
Pusat Operasi Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, kejadian dilaporkan berlaku susulan hujan lebat berterusan sejak jam 9.30 pagi tadi.
“Penutupan laluan bagi kenderaan ringan ini dibuat di Jalan Pekan Kota Tinggi berikutan paras air telah meningkat sebanyak 0.2 meter sejak hujan lebat berlaku.
“Selain itu, satu lagi laluan yang ditutup adalah di Kilometer 6 Jalan Kota Tinggi-Mawai juga disebabkan paras air yang mencapai kedalaman sehingga 0.5 meter,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, difahamkan tiada sebarang mangsa dilaporkan terkandas ketika berada di laluan berkenaan selain perlu dipindahkan menerusi operasi menyelamat.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Tinggi berkata, 19 mangsa yang terjejas akibat kejadian banjir di sekitar Teluk Ramunia, semalam masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Kesemua mangsa membabitkan lima keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Teluk Ramunia itu adalah berasal dari tiga kampung iaitu Kampung Baharu, Kampung Changi dan Kampung Jumis Bukit Raja.
“Kesemua mangsa masih menerima perlindungan di PPS, buat masa ini tiada penambahan mangsa lain.
“Keadaan terkini di tiga kawasan kampung yang terjejas ini juga masih dipantau dan buat masa ini cuaca adalah hujan renyai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!