Tiga jari hampir putus dihempap papan tanda masjid
MARANG - "Mujurlah tiga jari kaki anak saya yang hampir putus berjaya disambung, malangnya satu jari bertukar kehitaman dan tidak dapat berfungsi lagi," luah ibu kepada kanak-kanak berusia 4 tahun yang dihempap papan tanda di sebuah masjid pada 23 November lalu.
Wan Nurul Hidayah Wan Abdullah, 32, berkata, walaupun sudah hampir tiga minggu kejadian berlaku, ia meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya dan anaknya lebih-lebih lagi apabila keadaan jari tengah kaki kiri anaknya tidak dapat diselamatkan.
Menurutnya, buat masa ini anaknya, Muhammad Ammar Qayyum Mohd Zaizol masih berada di bawah pemantauan pihak hospital dan perlu berulang-alik ke klinik untuk mencuci luka.
"Mula-mula selepas jari kaki anak saya berjaya disambung, keadaan jari tengah itu tidaklah begitu hitam tetapi tidak lama selepas itu, sedikit demi sedikit bertukar kehitaman macam dah gangren.
"Saya agak terkejut apabila lihat perubahan itu tetapi doktor dah maklumkan bahawa jari tengah pada kaki anak saya memang tidak dapat berfungsi dan perlu sentiasa dicuci untuk pastikan sel yang mati pada jari kaki itu luruh dengan sendirinya," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mengimbau detik cemas sebelum ini, katanya, insiden itu berlaku ketika dia sekeluarga berhenti di sebuah masjid di daerah itu untuk menunaikan solat Zohor.
Bagaimanapun katanya, ketika melalui bahagian tepi masjid, secara tiba-tiba bahan binaan (papan tanda masjid) yang disandarkan pada bahagian dinding masjid itu terjatuh lalu terkena pada bahagian kaki kiri anaknya.
"Akibat kejadian itu, tiga jari anak saya mengalami kecederaan serius iaitu hampir putus dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
"Sekarang, dua daripada tiga jari yang cedera boleh digerakkan, satu lagi jari tidak dapat digerakkan dan mungkin kekal tidak dapat berfungsi," katanya yang tinggal di Kampung Kijing di sini.
Wan Nurul Hidayah berkata, dia agak terkilan dengan kejadian itu kerana berlaku akibat kecuaian, namun dia pasrah dan berdoa agar anaknya kembali pulih seperti sedia kala.
"Saya harap ibu bapa di luar sana dapat mengambil iktibar daripada kejadian yang menimpa anak saya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!