Kerajaan wujud SPV pantau pembangunan Kampung Baru

Khalid Abdul Samad - Foto Bernama
Khalid Abdul Samad - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat Tujuan Khas (SPV) akan diwujudkan bagi melaksanakan pembangunan semula Kampong Bharu memandangkan masih belum ada pemaju yang dilantik setakat ini, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata SPV ini akan mendapatkan dana untuk membeli tanah dalam kawasan yang ingin dibangunkan sambil menjadikan pemilik asal sebagai pemegang sebahagian dari sahamnya.

"SPV sebagai pemilik tanah seterusnya akan mengawal selia pembangunan Kampung Baru dengan membahagikan pembangunan itu kepada beberapa pakej untuk dibangunkan secara usaha sama dengan pemaju yang dipilih melalui tawaran sebut harga terbuka.

"Dengan itu SPV ini akan bertindak sebagai pemaju utama untuk membangunkan keseluruhan kawasan ‘Malay Agriculture Settlement’ (M.A.S) Kampung Baru seluas 219.91 ekar," katanya ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Dr. Yaakob Sapari yang ingin tahu siapakah pemaju yang bertanggungjawab untuk memajukan Kampung Baru serta apakah jaminan kerajaan untuk memastikan projek itu berjaya.

Khalid berkata, bagi memastikan kepentingan kerajaan dan pemilik tanah terjaga, SPV ini akan diterajui kerajaan dan memastikan ia diurus tenaga pakar berpengalaman, di samping menawarkan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta terkemuka yang memenuhi syarat pemilikan Melayu.

Menurutnya, pihak kementerian dan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi dan syarikat kerajaan yang berpengalaman bagi membangunkan model terbaik dalam merangka pelan pembangunan Kampung Baru.

Katanya, kerajaan akan memastikan struktur SPV yang dibentuk adalah berdaya maju dan dapat mencapai matlamat Kampong Bharu sebagai pusat hartanah utama di Kuala Lumpur dengan kemudahan awam lengkap di samping mengekalkan elemen warisan Melayu Kampung Baru. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!