KPP hala tuju pertahanan negara tangani ancaman mencabar, canggih

Mohamad bercakap ketika sesi temu bual khas bersama Bernama di Kementerian Pertahanan hari ini. -Foto Bernama
Mohamad bercakap ketika sesi temu bual khas bersama Bernama di Kementerian Pertahanan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas Putih Pertahanan adalah rangka hala tuju industri pertahanan dan keselamatan negara dalam menangani ancaman yang semakin mencabar dan canggih.

Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang pertama kali dihasilkan selepas 62 tahun kemerdekaan negara itu akan menjadi panduan kepada pertahanan negara untuk tempoh 10 tahun akan datang.

"Dalam melaksanakan KPP, perlu mempunyai kewangan yang mencukupi sekurang-kurangnya 6.5 peratus daripada bajet tahunan Kementerian Pertahanan," kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Bercakap kepada Bernama dalam temubual khas di pejabatnya di sini hari ini, Mohamad berkata, kementerian akan berusaha untuk mendapatkan kewangan daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan RMK13 supaya dapat memenuhi keperluan-keperluan yang disaran dalam KPP berkenaan.

"Sekarang kita lihat pertahanan negara tidak macam zaman dahulu dan ia berbeza dengan zaman sekarang kerana ketika ini negara menghadapi ancaman baharu iaitu ancaman siber.

"Oleh itu, satu peperangan baharu (ancaman siber) yang muncul pada abad ini, maka soal dron, pesawat terbang tanpa pemandu (UAV), radar dan sebagainya perlu ada kelengkapan-kelengkapan berkenaan dan ia perlu dipertingkatkan untuk mengawasi negara," katanya.

Beliau berkata, tambahan pula, Malaysia merupakan sebuah negara dikelilingi lautan yang luas iaitu dari pantai timur, Malaysia barat hingga ke Sabah dan Sarawak serta kawasan kepulauan dan khazanah laut bernilai tinggi dan terdedah kepada ancaman luar.

"Oleh yang demikian, kami perlu mengawasi laut sekarang dengan kapal-kapal yang dilengkapi peralatan moden dan canggih antaranya dalam menghadapi penyeludupan di laut tapi saya yakin Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) amat mengambil perhatian dalam perkembangan ini dan beliau sentiasa menyebut teknologi pertahanan sekarang berubah dengan begitu pantas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad memberi contoh peperangan di negara Timur Tengah yang menggunakan dron atau UAV sebagai alat utama mereka dalam mempertahankan negara.

"Itulah kekangan kewangan yang dalam pemikiran saya, jika ekonomi negara pulih pada masa akan datang, segala yang digariskan dalam KPP akan dapat dilaksanakan,” katanya.

Pada 2 Disember lepas, KPP dibentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat dan kertas putih itu menetapkan hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 10 tahun bagi melindungi kepentingan Malaysia dan mempertahankan kedaulatan serta keutuhan wilayah.

KPP yang melibatkan lapan mesej utama itu dibentangkan bagi memperbaharui Dasar Pertahanan Negara (DPN) agar strategi dan keupayaannya seiring dan relevan dengan perubahan persekitaran keselamatan global.

Kertas putih yang terbuka kepada umum itu menzahirkan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan yang lebih telus, terbuka dan inklusif dalam menetapkan perancangan pertahanan negara serta membolehkan rakyat mengetahui ke mana dan bagaimana wang mereka dibelanjakan kerajaan.

Mohamad yang memegang portfolio Kementerian Pertahanan pada Mei 2018 berkata, penyediaan KPP mengambil masa hampir setahun dengan mengambil pandangan pelbagai agensi dan pakar-pakar universiti awam antaranya Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Selepas itu, perbincangan KPP turut dibuat dengan negara-negara luar yang telah memperkenalkan KPP seperti Australia, New Zealand, Jepun, Jerman dan beberapa negara lain, selain mengadakan dialog dengan veteran Angkatan Tentera Malaysia, pemain-pemain industri pertahanan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!