Beregu lelaki raih emas selepas 16 tahun

555229
555229
A
A
A

GANDINGAN Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menamatkan kemarau pingat emas selama 16 tahun dalam acara beregu lelaki Malaysia pada temasya Sukan SEA apabila bangkit untuk mengalahkan beregu Thailand pada final edisi ke-30 di sini hari ini.

Pada penampilan sulung di temasya dwitahunan ini, Aaron-Chia-Soh Wooi Yik melengkapkan hari gemilang skuad badminton negara apabila menewaskan Bodin Isara-Maneepong Jongjit 18-21, 21-15, 21-16 di Kompleks Sukan Muntinlupa di sini.

Lebih manis, kemenangan tersebut merupakan kejuaraan pertama mereka sejak digandingkan pada hujung 2017 serta menjadi tonik terbaik menjelang Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF di Guangzhou, China bermula Rabu ini.

Malaysia kali terakhir memenangi emas acara beregu lelaki menerusi gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada edisi 2003 di Vietnam.

Kemenangan Aaron-Wooi Yik itu sekali gus menyaksikan mereka menyumbang emas ketiga skuad negara selepas perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan perseorangan wanita, S Kisona pada hari terakhir saingan.

"Memang sangat gembira sebab ini kejuaraan pertama untuk kami. Sesuatu yang amat ditunggu-tunggu selama ini. Kejayaan ini adalah petanda baik bagi menghadapi Jelajah Dunia Akhir BWF di Guangzhou,” kata Aaron kepada media selepas perlawanan itu.

Bagi Wooi Yik, beliau akui pingat emas sulung dalam karier mereka amat bermakna, namun menjelaskan ia tidak diperoleh dengan mudah memandangkan lawan di pentas final itu memiliki kelebihan tersendiri.

Menurutnya, kekalahan set pertama disebabkan percaturan taktikal dan selepas membuat perubahan dari segi pendekatan, ia membuahkan hasil. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!