Sharmendan tak patah semangat pertahan pingat emas

Atlet karatedo negara, Raghonathan Sharmendra gembira memenangi pingat emas dalam acara 75 kilogram kumite lelaki akhir menentang Thailand, Muntaen Songvut pada Sukan SEA 2019 di Pusat Dagangan Dunia Filipina hari ini. - Foto Bernama
Atlet karatedo negara, Raghonathan Sharmendra gembira memenangi pingat emas dalam acara 75 kilogram kumite lelaki akhir menentang Thailand, Muntaen Songvut pada Sukan SEA 2019 di Pusat Dagangan Dunia Filipina hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LALUAN penuh ranjau tidak mematahkan semangat kental R Sharmendan untuk mempertahankan pingat emas saingan kumite lelaki bawah 75 kilogram (kg) pada acara karate di Sukan SEA ke-30 di sini hari ini.

Saingan bagi peserta berusia 27 tahun itu bukan sahaja dalam gelanggang malah terpaksa mengatasi cabaran mental dan fizikal sepanjang tahun susulan pembedahan lutut kanan pada Disember tahun lalu.

Selepas kembali semula pada Ogos lalu, bekas jaguh dunia Piala Dunia Karate 1 pada 2014 itu hanya mempunyai tempoh masa empat bulan dan satu kejohanan bagi persediaan menghadapi temasya dwitahunan itu.

Namun kesuntukan masa untuk latihan tidak menjadi penghalang untuk Sharmendan membuktikan kehebatannya apabila menewaskan peserta Thailand, Songvut Muntaen 3-0 dalam aksi final.

"Beberapa bulan lalu, nasib saya untuk menyertai Sukan SEA masih samar susulan kecederaan yang memaksa saya menjalani proses pemulihan selama lapan bulan.

“Selepas itu, selama empat bulan terakhir sebelum Sukan SEA, saya mengikuti latihan bersama jurulatih Andris Vasiljevs di Latvia dan di Phuket, Thailand

“Walaupun Vasiljevs tidak lagi menjadi jurulatih skuad negara tetapi beliau banyak membantu saya dalam memulihkan keyakinan diri dan rentak saya. Saya nak mengucapkan terima kasih kepada Vasiljevs,”katanya.

Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada jurulatih S Mahendran yang bersetuju membantu walaupun pada saat-saat akhir dan juga Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) kerana sudi menaja dan menghantar beliau mengikuti latihan di luar negara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mahendran memuji semangat juang yang tinggi dan usaha gigih yang ditunjukkan oleh Sharmendran untuk mempertahankan pingat emasnya.

Terdahulu, tro negara - Emmanuel Leong, Hoe Thomson dan Ivan Ho - membantu negara mempertahankan emas acara kata berpasukan dengan mencatatkan 25.30 mata manakala Indonesia, mengumpul 23.98 mata pada final.

Viertnam dan Filipina masing-masing membawa pulang pingat gangsa.

Skuad karate negara menutup tirai kempen Sukan SEA Filipina dengan pungutan empat pingat emas dan tiga perak sekali gus melepasi sasaran tiga emas yang ditetapkan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!