70 peratus dibelanjakan untuk keperluan, perumahan, pengangkutan

Saifuddin Nasution (berdiri tengah) menyaksikan Majlis MoU diantara MyCC dengan Monash Universiti Malaysia, BAC dan MIER pada Perhimpunan Bulanan KPDNHEP hari ini. - Foto Bernama
Saifuddin Nasution (berdiri tengah) menyaksikan Majlis MoU diantara MyCC dengan Monash Universiti Malaysia, BAC dan MIER pada Perhimpunan Bulanan KPDNHEP hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hampir 70 peratus pendapatan bulanan rakyat Malaysia dibelanjakan untuk barangan keperluan, perumahan dan pengangkutan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan laporan Kumpulan Bank Dunia, tiga komponen berkenaan turut ​​​menyumbang kepada bebanan kos sara hidup rakyat.

“Laporan itu turut menyebut semakin rendah pendapatan rakyat, semakin banyak mereka berbelanja untuk makanan, manakala semakin tinggi pendapatan rakyat (golongan kaya), semakin banyak mereka habiskan untuk masa lapang untuk berjalan dan ke kelab-kelab rekreasi dan sebagainya.

“Jadi kita boleh tengok di situ apabila berlaku kenaikan harga kos barang dan sebagainya, golongan berpendapatan bawah yang paling terkesan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Edisi Ke-21 Malaysia Economic Monitor- 'Making Ends Meet' di sini hari ini.

Selain itu, katanya, laporan berkenaan turut menyentuh tentang pendapatan rakyat Malaysia yang statik ketika kos sara hidup meningkat.

Justeru beliau berkata, kementeriannya selaku sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan mengambil beberapa inisiatif mengatasi masalah berkenaan.

“Saya dapat beberapa idea untuk melakukan beberapa anjakan terhadap fokus dan keutamaan bagaimana NACCOL harus bergerak memasuki tahun 2020. Kita tidak boleh puas hati dengan tahap sekarang, kita mesti lakukan lebih pada itu,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin dalam ucapannya berkata, NACCOL sedang melihat bagaimana mengurangkan harga barangan makanan dan meningkatkan pendapatan pengeluar makanan dengan menghapuskan lapisan-lapisan orang tengah dalam rantaian bekalan makanan.

Artikel Berkaitan:

“Baru-baru ini saya melawat jeti nelayan di Sekinchan serta Sungai Besar dan saya bercakap dengan nelayan, harga ikan kembung hanya RM5 ke RM6 sekilogram (kg) dan harganya di pasar basah 1.5km dari jeti ialah RM13 sekilogram.

"Saya telah mengeluarkan arahan kepada Ketua Setiausaha (Datuk Muez Abdul Aziz) untuk benar-benar melihat perkara itu dan kami komited untuk bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengenai perkara ini. Untuk tahun-tahun mendatang, ini akan menjadi salah satu keutamaan saya dalam usaha kami mengurangkan kos sara hidup,” katanya.

Untuk bergerak ke hadapan, kerajaan akan terus mempertingkatkan perkhidmatan pengangkutan awam, terutamanya kesalinghubungan terakhir selain membangunkan lebih banyak rumah mampu milik dan juga memperkenalkan skim yang kreatif dan inovatif untuk meningkatkan pemilikan rumah dan mengurangkan kos memperolehnya.

Beliau berkata, menerusi kementerian, mereka memulakan program Food Bank Malaysia dan Food Bank Siswa yang setakat ini memberikan sekuriti makanan kepada lebih 400,000 keluarga dan 7,000 penuntut universiti. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!