Polis buka kertas siasatan kes Yussof Rawther
KUALA LUMPUR - Polis telah membuka kertas siasatan susulan bekas pegawai penyelidik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yussof Rawther dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan dirinya dicabul Presiden PKR itu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
"Kertas siasatan sudah dibuka dan kita akan melihat keperluan untuk memanggil semula Muhammed Yusoff selepas siasatan dibuat," katanya ketika dihubungi Bernama.
Terdahulu, Muhammed Yusoff memberi keterangan hampir sembilan jam di Bukit Aman di sini hari ini.
Muhammed Yussof ditemani peguamnya, Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla tiba di Bukit Aman sekitar jam 12.45 tengah hari tadi dan kelihatan keluar dari Bukit Aman pada jam 9.20 malam.
Pada Sabtu lepas, media melaporkan Muhammed Yusoff membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul supaya polis menyiasat dakwaannya dan dalam laporan yang sama, beliau turut melahirkan kebimbangan dengan keselamatan dirinya yang diancam pihak tertentu.
Rabu lepas, Muhammed Yusoff membuat perakuan bersumpah mendakwa dicabul Anwar 2 Oktober tahun lepas bagaimanapun perkara itu dinafikan Presiden PKR itu yang mendakwa sedang berkempen pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada tarikh berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!