Hutang awam kerajaan Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

Gambar hiasan - Foto internet
Gambar hiasan - Foto internet
A
A
A

KANGAR - Jumlah hutang awam kerajaan Perlis pada tahun lepas meningkat RM10.99 juta atau 2.8 peratus kepada RM403.32 juta berbanding RM392.33 juta pada tahun 2017, kata Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

Laporan Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Perlis dan Prestasi Kewangan Agensi Negeri Perlis 2018 mendapati tunggakan bayaran hutang awam oleh kerajaan negeri pada tahun 2018 meningkat kepada RM244.28 juta berbanding RM229.88 juta pada tahun 2017.

“Analisis Audit mendapati kedudukan kewangan kerajaan negeri adalah kurang stabil. Baki Kumpulan Wang Disatukan pada akhir tahun 2018 adalah RM22.20 juta, menurun sejumlah RM13.78 juta atau 38.3 peratus berbanding RM35.98 juta pada akhir tahun 2017.

“Akaun Hasil Disatukan mencatatkan kekurangan semasa sejumlah RM15.41 juta pada tahun 2018,” kata Nik Azman dalam kenyataan mengenai laporan itu.

Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 4 November lepas setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seterusnya mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada 7 November untuk dibentang di Dewan Undangan Negeri Perlis hari ini.

Nik Azman berkata, bagaimanapun, laporan itu turut menyebut kutipan hasil meningkat sebanyak RM19.42 juta atau 17.9 peratus kepada RM128.08 juta tahun lepas berbanding RM108.66 juta pada tahun 2017.

Beliau berkata, pengauditan yang dijalankan mendapati Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Perlis telah diberi Pendapat Tanpa Teguran dan penyata kewangan itu menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan kerajaan negeri selain rekod perakaunan telah diselenggarakan dengan teratur dan kemaskini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!