Rakyat India bantah beri kerakyatan kepada negara jiran
MUMBAI - Ratusan penunjuk perasaan memenuhi jalan raya di India semalam selepas kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi menawarkan rang undang-undang kontroversi di Parlimen yang memberi kewarganegaraan kepada minoriti bukan Islam dari tiga negara jiran.
Menurut ahli politik pembangkang di Parlimen dan peserta protes, undang-undang tersebut adalah diskriminasi kepada umat Islam dan melanggar Perlembagaan sekular negara itu.
"Kami akan lawan sehingga ke titisan darah terakhir," tegas penasihat Kesatuan Pelajar All Assam, Samujjal Bhattacharya yang bimbang ribuan penduduk dari negara jiran Bangladesh akan mendapat kewarganegaraan India.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, lebih 1,000 saintis dan ulama India turut menggesa agar rang undang-undang itu ditarik balik.
"Kami khuatir keputusan tersebut bakal menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat di negara ini," menurut kenyataan itu.
Menteri Dalam Negeri, Amit Shah memperkenalkan Rang Undang-Undang Pindaan Kewarganegaraan (CAB) di Dwan Rakyat di tengah-tengah perdebatan hangat.
Pada asalnya, undang-undang berkenaan diperkenalkan pada tahun 2016 ketika penggal pertama kerajaan Modi namun dibatalkan susulan protes dan pengunduran rakan sekutu.
Undang-undang tersebut bercadang untuk memberikan kerakyatan India kepada bukan Islam yang datang dari Bangladesh, Pakistan dan Afghanistan sebelum 2015. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!