Kanak-kanak 6 tahun maut digilis treler
JITRA - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut digilis sebuah treler di hadapan RTC Napoh, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 pagi ketika mangsa, Sangtang Master Worawut membonceng motosikal yang ditunggang ibu saudaranya keluar dari simpang RTC Napoh dan menghala ke Bukit Kayu Hitam.
Bagaimanapun, beberapa minit kemudian, motosikal yang ditunggang Miss Suchada Sangtang, 28, itu kemudiannya bergesel dengan sebuah treler yang datang dari arah belakang mereka.
"Akibat pergeseran, kedua-dua mereka terjatuh dan Sangtang Master Worawut digilis treler itu. Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala ibu saudaranya hanya mengalami luka kecil," katanya melalui kenyataan media hari ini.
Menurutnya, pemandu treler terbabit tidak berhenti ketika kejadian dan polis kini sedang mengesan pemandu berkenaan untuk membantu siasatan.
Mohd Ismail berkata, mayat kanak-kanak terbabit dibawa ke Hospital Jitra untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, ADUN Bukit Kayu Hitam merangkap Exco Kerajaan Negeri, Halimaton Shaadiah Saad yang kebetulan melalui jalan tersebut ketika kejadian turut berhenti menghulurkan bantuan kepada mangsa kemalangan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!