Hakimi dedikasi emas Hartrik Sukan SEA buat isteri

 Muhammad Hakimi Ismail menepati statusnya sebagai jaguh lompat kijang Asia Tenggara apabila merangkul pingat emas buat kali ketiga pada siri Sukan SEA di Stadium Olahraga New Clark City, di sini hari ini.
Muhammad Hakimi Ismail menepati statusnya sebagai jaguh lompat kijang Asia Tenggara apabila merangkul pingat emas buat kali ketiga pada siri Sukan SEA di Stadium Olahraga New Clark City, di sini hari ini.
A
A
A

NEW CLARK CITY - Muhammad Hakimi Ismail menepati statusnya sebagai jaguh lompat kijang Asia Tenggara apabila merangkul pingat emas buat kali ketiga pada siri Sukan SEA di Stadium Olahraga New Clark City, di sini hari ini.

Atlet berusia 28 tahun itu melakukan catatan peribadi terbaik pada musim ini apabila merekodkan jarak 16.68 meter (m) pada lompatan ketiga pada edisi ke-30 di sini, sekali gus mengulangi pencapaian emas bermula di Sukan SEA 2015 di Singapura dan 2017 di Kuala Lumpur.

Pingat perak dimenangi atlet tuan rumah, Mary Harry Aloto Diones dengan 16.42m manakala wakil Indonesia, Sapwaturrahman mendapat gangsa dengan lompatan 16.21m.

Seorang lagi atlet negara, Andre Anura Anuar, yang merangkul pingat perak dalam acara lompat jauh dengan rekod kebangsaan 8.02m, menduduki tempat kelima daripada tujuh peserta dengan catatan 16m.

Kejayaan meraih emas hatrik Sukan SEA menjadi detik paling manis untuk Muhammad Hakimi yang mendedikasikan kemenangan tersebut kepada isterinya yang bakal melahirkan cahaya mata kedua pada awal Januari depan.

Beliau berkata isterinya, Sharifah Mastiara banyak mengorbankan masa untuk menjaga anak sulung, Muhammad Ayden Matiin, 2, susulan kesibukan beliau menjalani latihan selain menyertai pelbagai pertandingan tempatan dan antarabangsa selama ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kejayaan para atlet negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas acara berkenaan.

Dalam pada itu, Muhammad Hakimi berkata, tumpuannya kini teralih kepada misi untuk melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi beberapa kejohanan antarabangsa pada awal tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Belia, bagaimanapun berkata, sasaran berkenaan mungkin sukar untuk dicapai kerana beliau berada dalam kelompok 60 atlet dalam ranking Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Catatan 16.68m yang dilakar Muhammad Hakimi di sini masih jauh daripada rekod kebangsaan dan Sukan SEA, iaitu 16.77m yang dilakarnya pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!