'Di mana kami nak tidur malam ni...'
KUANG - Penduduk Kampung Melayu Puncak Kundang buntu selepas pelbagai usaha dilakukan untuk mempertahankan rumah yang diduduki mereka sejak 16 tahun lalu tidak mendapat perhatian mana-mana pihak.
Wakil penduduk, Siti Nor Aminah Md Nafi,38, berkata, daripada 70 rumah di kampung berkenaan, 15 rumah dirobohkan hari ini.
"Lima daripada rumah yang diroboh berpenghuni sementara bakinya pula kosong. Rumah belum dirobohkan juga sudah dipotong bekalan elektrik. Di mana kami nak tidur malam ini.
"Kami tak dapat apa-apa, tiada rumah transit dan pampasan. Bulan Oktober terima notis hari ini datang roboh. Tiada yang datang bela kami.
"Jika tak mahu bantu, bagi khemah pun jadilah, ada juga tempat kami berteduh buat sementara waktu," katanya.
Katanya, penduduk berharap diberikan peluang untuk rundingan dan perbincangan berhubung isu perobohan itu.
"Tolong bagi penduduk ruang untuk menyuarakan permintaan kami. Buat masa ini tiada ruang langsung untuk berbincang.
"Difahamkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari cuba campur tangan, tapi pemilik tanah itu tetap dengan keputusan roboh selepas keputusan mahkamah memihak kepada mereka," katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim ketika dihubungi menjelaskan status tanah tersebut bukan di bawah tanah kerajaan dan kerja perobohan dilakukan oleh pihak pemilik asal geran.
"Tanah tersebut ada pemilik yang telah membuat rundingan bersama penduduk sebelum ini akan tetapi keputusan yang diambil oleh pemilik adalah dengan menggunakan perintah mahkamah.
"Setakat ini tiada penyediaan rumah transit disediakan oleh pemilik mahupun daripada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!