Suu Kyi tampil perbicaraan di The Hague
THE HAGUE - Penerima Anugerah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi tiba di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini bagi mempertahankan Myanmar terhadap tuduhan genosid.
Berpakaian tradisional Myanmar, pemimpin Myanmar itu tiba di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague dengan iringan polis namun tidak bercakap dengan media yang sedia menunggu.
Kes yang difailkan oleh Gambia itu merupakan usaha pertama membawa Myanmar ke muka pengadilan berhubung kempen ganas tentera terhadap etnik minoriti Muslim Rohingya pada tahun 2017.
Nama Suu Kyi pernah diletak sebaris Nelson Mandela dan Mahatma Gandhi namun reputasi antarabangsa beliau musnah akibat sikap berdiam diri berhubung nasib Rohingya dan kerana mempertahankan jeneral yang sama pernah mengurungnya dalam tahanan rumah.
Perbicaraan kes itu turut disaksikan di Bangladesh yang kini menjadi tempat tinggal seramai 740,000 etnik Rohingya yang melarikan diri berikutan kekejaman di Rakhine.
"Saya menuntut keadilan daripada dunia," kata Nur Karima, seorang pelarian Rohingya yang kematian abang, datuk serta nenek dalam pembunuhan di Kampung Tula Toli pada bulan Ogos 2017.
"Saya mahu melihat kesemua pesalah itu ke tali gantung. Mereka membunuh kami tanpa belas kasihan," kata Saida Khatun, seorang lagi pelarian juga dari Tula Toli kepada AFP.
Tahun lalu, pasukan penyiasat PBB melabelkan kekejaman di Rohingya sebagai genosid.
Perbicaraan selama tiga hari itu dikatakan bakal menjadi perbicaraan bersejarah buat ICJ yang ditubuhkan pada tahun 1946 untuk mengadili pertikaian antara negara anggota PBB.
Gambia yang memfailkan kes itu mewakili 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mendakwa Myanmar melanggar Konvensyen Genocide 1948.
Ia akan meminta mahkamah menetapkan langkah kecemasan bagi menghentikan tindakan genosid yang sedang dilakukan oleh Myanmar.
"Tindakan genosid yang dilakukan ketika operasi tersebut bertujuan memusnahkan Rohingya sebagai kumpulan, secara sepenuhnya atau sebahagian melalui pembunuhan beramai-ramai, rogol dan pelbagai lagi bentuk keganasan seksual," kata Gambia dalam penghujahan di mahkamah.
Sementara itu pejabat Suu Kyi berkata, beliau akan mempertahankan kepentingan Myanmar ketika menjadi salah seorang pemimpin negara yang mengetuai pembelaan di ICJ.
Suu Kyi dijadual berhujah esok dan dijangka akan menegaskan bahawa ICJ tidak mempunyai bidang kuasa dan Myanmar menyasarkan militan Rohingya ketika kempen keganasan itu.
Meskipun berisiko menarik lebih banyak kritikan antarabangsa, keputusan Suu Kyi untuk ke ICJ telah meraih sokongan di Myanmar di mana etnik Rohingya dianggap sebagai pendatang haram.
Ribuan penyokong dilaporkan berhimpun di kediamannya dan papan tanda pro-Suu Kyi muncul di seluruh pelusuk negara malah ada peminatnya dikatakan menempah lawatan ke The Hague.
Satu perkara yang mungkin menyebelahi Suu Kyi adalah genosid sukar dibuktikan dalam undang-undang, hakim ICJ hanya pernah sekali memutuskan genosid berlaku ketika pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica pada tahun 1995.
Myanmar bagaimanapun berdepan beberapa dakwaan undang-undang berhubung nasib Rohingya termasuk siasatan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa, sebuah tribunal jenayah perang berasingan di The Hague dan juga tuntutan mahkamah di Argentina.
Anak kepada hero kemerdekaan Myanmar, Aung San, Suu Kyi merupakan wajah penentangan junta selepas protes pada tahun 1988 sehinggakan beliau digelar 'The Lady', menerima Anugerah Nobel pada tahun 1991 selain menerima pujian antarabangsa.
Setelah 15 tahun dikenakan tahanan rumah, tentera akhirnya membebaskan Suu Kyi pada tahun 2010 dan beliau kemudian mengetuai partinya memenangi pilihan raya pada tahun 2015.
Namun sikap berdiam diri berhubung isu Rohingya mengakibatkan timbulnya gesaan agar Anugerah Nobel milik Suu Kyi ditarik balik sementara Kanada menarik balik status warganegara kehormat yang diberikan kepadanya.
"Langkah terbaik yang boleh dilakukan Suu Kyi demi memulihkan imejnya di mata dunia adalah dengan mengatakan Rohingya telah dianiaya," kata Abdul Malik Mujahid, seorang imam yang mengetuai Burmese Task Force yang berpengkalan di Amerika Syarikat.- AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!