Gelaran Raja, Ratu Pecut SAGA 2019 milik atlet Sandakan
GELARAN Raja dan Ratu Pecut temasya Sukan Sabah (SAGA) XI 2019 masing-masing menjadi milik atlet Sandakan, Mohammad Nor Musyaraf Mohd Sari dan Nur Aishah Rofina Aling pada acara 100 meter (m) di Kompleks Sukan Nabawan di sini.
Mohammad Nor Musyaraf melintasi garisan penamat dengan catatan masa 10.83 saat (s) manakala Nur Aishah pula merakamkan masa 12.56s, ketika lima rekod baharu kejohanan dicipta pada saingan hari ini.
Rekod tersebut adalah dalam acara lompat jauh wanita, lompat tinggi lelaki, lempar cakera lelaki dan wanita serta 800m wanita.
Atlet Tuaran, Feova Lim Yi Fei melakukan lompatan sejauh 5.52m untuk memadam rekod 5.50m milik Nurul Atiqah Sukur pada edisi 2011 dalam acara lompat jauh wanita.
Atlet kontinjen Tawau, Mohamad Eizlan Dahlan menyumbangkan emas untuk pasukannya selepas mencatatkan rekod baharu melalui acara lompat tinggi lelaki dengan catatan 2.05m, sekali gus memadam rekod 1.98m yang dicatatkan oleh Teo Lee Kee dari Nabawan pada 2015.
Bagi acara lempar cakera wanita, atlet tuan rumah, Nobenecka Pinalus menggondol emas selepas menjuarai acara itu dengan rekod baharu 35.95m mengatasi rekod Froneka Mail (34.48m) yang dicipta pada 2011.
Dalam acara lempar cakera lelaki, atlet Tawau, Mirach Han mencatatkan rekod baharu dengan jarak 42.22m sekali gus memadam rekod lama dipegang oleh Jerome Chong Tze (36.83m) dari Kota Kinabalu pada 2011.
Sementara itu, atlet Keningau, Hizillawanty Jamain turut berjaya mencatatkan rekod baharu dalam acara 800m wanita dengan catatan masa terpantas 2:24.48s, sekali gus membenamkan penguasaan Salesnella Gabi dari Ranau sejak 2013 dengan 2:27.31s.
Sebanyak 27 kontinjen dengan 5,274 atlet mengambil bahagian dalam 21 acara sukan pada temasya dwitahunan tersebut yang bermula Sabtu lalu hingga Jumaat ini.
Setakat ini, Keningau masih mengungguli carta pungutan pingat 12 emas, empat perak dan lima gangsa diikuti Tawau dengan lapan emas; 10 perak dan 11 gangsa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!