Menelan maklumat tanpa mengunyah
HANI adalah anak jiran saya yang rajin belajar. Dia baru darjah enam dan akan memasuki Tingkatan Satu pada tahun hadapan. Pada waktu cuti sekolah pun dia asyik membelek buku-buku teksnya.
Bila berkunjung ke rumah saya pun, buku-buku sekolahnya dibawa bersama. Hani suka mengarang. Kalau kanak-kanak lain suka bermain telefon ataupun komputer, Hani lebih gemar menulis.
Petang tadi saya terpandang dia termenung sambil menggigit hujung pensel. Nampaknya dia sedang berfikir jauh. Bila saya menegur, dia menoleh seraya tersenyum. Lantas berkata yang dia ingin menulis sebuah karangan mengenai banjir.
Tapi dia mahu tulisannya lain daripada yang lain. Saya bertanya apa maksud lain daripada yang lain? Kata Hani, dia sudah puas melayari internet untuk melihat karangan-karangan mengenai banjir.
Kesemuanya menceritakan mengenai hujan lebat, air naik menjadi banjir, ada pasukan penyelamat selamatkan mangsa, mangsa banjir mendapat bantuan dan akhirnya mereka pulang ke rumah setelah air surut.
Kata Hani, dia tidak mahu menulis hal-hal seperti itu. Katanya, karangan begitu sudah biasa-biasa. Saya termenung bila Hani bertanya apa lagi cerita tentang banjir yang belum ditulis?
Setelah berfikir sejenak, saya katakan, bagaimana kalau Hani menulis sebuah autobiografi mengenai air? Judulnya, ‘Aku air banjir yang memusnah.’ Ia adalah sebuah karangan yang menceritakan air dari sudut pandang pertama.
Bagaimana ‘aku’ sebagai air, gugur dari awan ke celah-celah perbukitan, mengalir turun menjadi sungai dan melanda perkampungan. Bagaimana ‘aku’ menghakis tebing sungai, melanda kampung, menghanyutkan ternakan, menenggelamkan rumah, mengakibatkan manusia panik menyelamatkan diri.
Dalam pada ‘aku’ melanda perkampungan, ‘aku’ sendiri menangis sedih melihat ketakutan manusia. Tetapi ‘aku’ tidak berdaya berhenti melanda sebagai banjir kerana itu adalah fitrah kejadianku. ‘Aku’ wajib patuh kerana aku makhluk ALLAH SWT.
Hani tersenyum dan terangguk-angguk mendengar ceritaku. Dia nampaknya faham maksud autobiografi yang saya katakan.
Bagaimanapun katanya, dia mahu menulis autobiografi juga tetapi dengan tajuk ‘aku seekor ayam’ yang menceritakan kisah bagaimana ‘aku’ sebagai ayam menyelamatkan diri daripada banjir! Ikut suka Hani lah...
Penceritaan dalam penyampaian berita pada hari ini amat mencabar. Dalam dunia persuratkhabaran pada hari ini, istilah 'scoop' atau eksklusif kian sukar didengari.
Peristiwa yang berlaku di penghujung negeri boleh tular dengan cepat kerana pada hari ini, sesiapa sahaja boleh menjadi wartawan lalu memaparkannya di media sosial.
Media sosial pula menjadi lubuk berita bagi wartawan tetapi tidak profesional lah sekiranya seseorang wartawan hanya mencedok dan menyiarkan kembali berita yang ditemuinya di media sosial.
Sudah tentu berita yang terpapar itu ditatap oleh segenap wartawan daripada pelbagai media yang lain. Justeru, jalan yang kreatif ialah menyampaikan berita yang sama dari sudut pandang yang berbeza.
Inilah yang akan menjadi berita yang disampaikan oleh sesebuah media itu menjadi segar kerana melaporkan dari sudut yang berlainan.
Berita sebuah kemalangan bas di lebuh raya yang mengakibatkan kehilangan lima nyawa adalah berita yang semua orang tahu secara umumnya.
Apa yang belum disentuh adalah dari sudut pandang yang berbeza sama ada dari sudut pandang pemandu, penumpang yang terselamat, orang setempat yang melihat, permukaan jalan raya, dari sudut undang-undang, malah dari sudut mistik juga.
Kita sendiri pada lazimnya menelan bulat-bulat apa yang sampai ke pengetahuan kita. Sekiranya berita yang disampaikan itu ialah kisah perceraian seseorang, kita akan telan bulat-bulat apa yang sampai dahulu.
Seandainya berita itu menyalahkan si suami, maka kita akan turut marahkan suami. Sebaliknya, jika berita yang tiba itu menyalahkan si isteri, kita akan menyalahkan si isteri juga.
Jarang sekali kita menerima sesebuah berita itu meletakkan diri dari sudut pandang yang berbeza daripada apa yang disampaikan.
Misalnya, jika berita itu menyalahkan si suami, kita cuba lihat apa salah si isteri pula. Seandainya berita itu menyebelahi si isteri, kita cuba lihat daripada kacamata si suami pula.
Malangnya, oleh kerana kita hanya suka berpegang pada satu sudut pandang semata-mata, maka kita akan menyebelahi sudut pandang si penyampai.
Apabila begitulah keadaannya, maka kita tidak lagi dapat memandang dari sudut yang kritis. Kita percaya bulat-bulat lalu telan bulat-bulat apa yang kita terima tanpa cuba mengunyah maklumat yang kita terima.*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!