Suka-duka Turki 2018
TURKI menempuhi tahun 2018 dengan seribu satu cerita hebat, suka duka dan mendebarkan. Melabuhkan tirai 2018, mari kita soroti cerita-cerita tersebut.
Pilihan raya Turki - Sistem baharu yang diperkenalkan pasca referendum 2017 telah mengizinkan penguasaan Presiden sebagai ketua kerajaan yang berkuasa secara eksekutif. Kejayaan Erdogan dengan undian 53 peratus dalam persaingan presiden 24 Jun tahun lalu mengisyaratkan majoriti rakyat masih memerlukan susuk ini untuk memimpin Turki.
Erdogan - Presiden Turki ini menggemparkan pemerhati politik dan masyarakat dunia dengan peranan beraninya memposisikan Turki dalam kancah politik yang maha ganas, khususnya melibatkan konflik Syria, perang dingin dengan Amerika Syarikat, hubungan baik dengan Rusia, konflik Israel-Palestin, penyelesaian isu pembunuhan Khasoggi, pasca cubaan kudeta yang dikaitkan kumpulan Gulenis dan percaturan politik dalaman Turki,
“Israel” - Erdogan menyelar Perdana Menteri “Israel”, Netanyahu sebagai pemimpin aparteid dan meminta pemimpin tersebut belajar berperikemanusiaan dengan menghayati ‘ten commandmends’. Perang dingin ini berlaku ekoran tindakan tentera Israel membunuh 59 rakyat Turki yang sedang berdemonstrasi di sempadan Gaza. Berikutan kes ini, Turki menghalau kedutaan “Israel” di Turki dan memanggil pulang duta Turki di Israel. Kemarahan rakyat antarabangsa tercetus akibat Donald Trump mengisytiharkan Jerusalem sebagai ibu kota negara haram “Israel” dan menempatkan kedutaan Amerika di Jerusalem.
Bantuan kemanusiaan - Turki menyara lebih 3.5 juta orang pelarian Syria dan membelanjakan lebih USD33 bilion (RM136 bilion) khususnya bantuan kemanusiaan, pendidikan dan keperluan asasi menurut OECD yang disifatkan sebagai negara penyumbang terbesar dalam dunia menurut Laporan Bantuan Kemanusiaan Global (GHAR) serta memimpin bantuan kemanusiaan dunia mengatasi peranan Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan Jerman.
Rusia - Tahun 2018 menyaksikan ‘kemesraan’ Turki dan Rusia selepas berakhirnya perang dingin apabila isu tentera Turki menembak jatuh pesawat F-16 milik Rusia di sempadan Turki-Rusia. Kerjasama membangunkan pelan nuklear dan pembinaan paip gas TurkStream sejauh 1,090 kilometer dari Rusia ke Turki menandakan perkembangan hubungan bilateral yang semakin memberangsangkan. Selain itu, peranan Turki dan Rusia bagi menangani konflik Syria untuk mengembalikan keselamatan di rantau itu melalui penghapusan keganasan dan penyelesaian politik juga telah memadukan hubungan antara Erdogan dan Putin.
Sains dan Penyelidikan Saintifik - Mustafa Erdik, Cengiz Kahraman, professor Ertuğrul Kılıç, Mehmet Acet, Tanju Karanfil, Ömer Küçük antara 18 orang saintis Turki yang telah merangkul ‘anugerah Nobel Turki’ anjuran Scientific and Technological Research Council of Turkey (TÜBİTAK) dan the Turkish Academy of Sciences (TÜBA).
Amerika Syarikat - Berakhirnya drama penahanan paderi Andrew Brunson sedikit menjernihkan hubungan Turki dan Amerika Syarikat khususnya perang perdagangan Amerika-Turki yang mengakibatkan mata wang Lira Turki menjunam teruk. Hubungan bilateral antara kedua negara tersebut dilihat sedikit pulih selepas rancaknya rundingan pembelian sistem pertahanan milik Amerika, strategi memerangi keganasan dan misi mengembalikan keamanan di Syria.
Industri Pelancongan - Tahun 2018 menunjukkan sinar dalam industri pelancongan Turki apabila hampir 40 juta pelancong mengunjungi Turki sejak Februari, kenaikan 23 peratus dari tahun sebelumnya dengan pulangan pendapatan sebanyak USD26.3 bilion (RM108 bilion). Istanbul dan Antalya merupakan destinasi pilihan paling ramai.
Biasiswa Turki - Program biasiswa pengajian tinggi kerajaan Turki (YTB) telah menarik minat lebih 130,000 permohonan dari 150 buah negara pada tahun 2018. Dari jumlah tersebut 17,000 telah diterima masuk ke universiti di seluruh Turki dengan biasiswa penuh dan elaun sara hidup secara bulanan.
Volkan Yıldız - Atlet ini berjaya memecahkan rekod dunia dalam acara maraton berlari menggunakan tali ‘skipping’ selepas menamatkan larian sejauh 42 kilometer dalam masa tiga jam, 29 minit dan 54 saat.
Şahika Ercümen - Penyelam wanita ini memecahkan rekod dunia dengan menyelam sedalam 65 meter di bawah dasar laut dalam masa seminit dan 58 saat tanpa menggunakan alat bantuan pernafasan. Beliau menarik perhatian dunia dalam misi pemuliharaan Tasik Salda, tasik paling dalam di Turki yang terletak di wilayah Burdur.
TurkStream - Projek bina paip gas antara Rusia dan Turki ini berjaya memecahkan rekod dunia dalam industri paip gas. Projek mega sejauh 1,090 km yang merentasi Laut Hitam antara Rusia dan Turki.
Menghiasi pentas dunia dengan cerita-cerita hebat daripada Turki, bagaimana pula kita bakal melakarkan cerita-cerita hebat Malaysia pada tahun 2019 ini?
*Penulis adalah pelajar Ph.D Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, aktivis Gen Two Training Academy (Gentra) dan pengasas Euromates.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!