Arab Saudi usaha tingkat hak asasi manusia
RIYADH - Tumpuan terhadap hak asasi manusia semakin berkembang di peringkat domestik dan antarabangsa. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mentafsirkan hak asasi manusia sebagai hak yang wujud buat semua manusia.
Menurut Presiden Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (HRC) Arab Saudi, Awwad Al-Awwad, kisah Arab Saudi merupakan satu transformasi. Sejak pengenalan Wawasan 2030, transformasi ini telah melalui pelbagai fasa dan berkembang dalam tempoh singkat.
Arab Saudi mencipta banyak pencapaian dalam bidang hak asasi manusia dalam tempoh empat tahun berbanding banyak negara lain dalam tempoh 25 tahun.
Di bawah pemerintahan Raja Salman Abdulaziz al-Saud dan Putera Mahkota, Muhammad Bin Salman, Arab Saudi menyaksikan pembaharuan merentasi pelbagai bidang.
Lebih 60 pembaharuan dibuat bagi meningkatkan situasi hak asasi manusia di negara itu, 22 daripadanya berkaitan hak wanita. Kami mengguna pakai peraturan baru dalam status peribadi untuk wanita dengan undang-undang penjagaan dan anti-gangguan yang diperbaharui.
Penyertaan tenaga kerja wanita juga bukan lagi sasaran malah keutamaan yang dahulukan. Turut dipastikan adalah kesepakatan gaji, selain itu undang-undang sivil dan buruh juga menyaksikan pembaharuan demi menyokong hak pekerja asing.
Seperti negara lain, Arab Saudi turut berdepan cabaran namun ia berjaya mengatasinya.
Selain menjadi instrumen hak asasi manusia antarabangsa dan mempercayai kesatuan hak asasi manusia, seperti negara-negara lain, Arab Saudi mengambil kira nilai, sejarah dan budaya sendiri.
Malah, piawaian hak asasi manusia antarabangsa mengiktiraf kebiasaan negara dan serantau serta pelbagai latar belakang sejarah, kebudayaan dan agama seperti yang dinyatakan dalam Deklarasi Vienna dan Program Tindakan 1993.
Implementasi hak asasi manusia berbeza dari satu negara ke negara lain. Sebagai contoh, di beberapa tempat di dunia, hak individu dan peribadi adalah yang paling utama, sedangkan di tempat lain, lebih banyak kepentingan diberikan kepada hak masyarakat dan pemeliharaan perpaduan sosial.
Memandangkan budaya Arab Saudi berasaskan perpaduan sosial dan konsensus, perubahan perlu dilakukan selari dengan rentak masyarakat Arab. Kami juga berbangga dengan nilai dan tradisi yang membawa kami ke masa depan bersama budaya yang utuh.
Apa yang pasti adalah komitmen Arab Saudi untuk meningkatkan kualiti hidup dan menjamin perlindungan semua hak asasi manusia.
Perlindungan hak asasi manusia adalah prinsip yang bernilai di Arab Saudi dan dianggap sebagai keutamaan oleh kepimpinan kerajaan.
Pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia akan terus melindungi dan mempromosikan hak asasi manusia dan menegakkan martabat manusia. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!