E-sport wujud peluang sama rata untuk semua golongan

Nurul Hanim Mohd Amin. FOTO: ZAHID IZZANI
Nurul Hanim Mohd Amin. FOTO: ZAHID IZZANI
A
A
A

SHAH ALAM - Setiap lapisan masyarakat mempunyai peluang yang sama banyak untuk melibatkan diri dengan sukan elektronik atau e-sport yang disifatkan sebagai aktiviti sukan tanpa sempadan dan diskriminasi.

Pensyarah Sains Sukan Universiti Selangor (Unisel), Nurul Hanim Mohd Amin berkata, beliau melihat perkembangan e-sport yang semakin mendapat tempat dalam arena sukan di negara ini sebagai satu perkara yang positif wajar difahami semua pihak.

Menurutnya, sukan tradisional juga kini sudah semakin terbuka dengan penyertaan pemain tanpa batas jantina, apatah lagi e-sport yang hanya memerlukan nama pemain yang terpampang di skrin.

"Dulu mungkin ia nampak ada diskriminasi. Seperti dulu hanya orang yang berkemampuan boleh memiliki permainan video. Tapi sekarang telefon pintar misalnya sudah menjadi satu keperluan.

"Sama dengan e-sport, permainannya kini boleh dimain oleh semua golongan, tak kira jantina dan umur kerana dalam e-sport kita tak nampak semua tu, yang ada hanya 'username'," katanya pada Wacana siri 143, bertajuk E-Sport: Dunia Baharu Tanpa Diskriminasi di Dewan Karangkraf di sini hari ini.

Barisan panel Wacana siri 143, bertajuk E-Sport: Dunia Baharu Tanpa Diskriminasi di Dewan Karangkraf di sini hari ini. FOTO: ZAHID IZZANI
Barisan panel Wacana siri 143, bertajuk E-Sport: Dunia Baharu Tanpa Diskriminasi di Dewan Karangkraf di sini hari ini. FOTO: ZAHID IZZANI

Dalam pada itu beliau berkata, masyarakat perlu mengubah persepsi terhadap e-sport dan tidak hanya menganggap ia sebagai perkara yang melalaikan sedangkan banyak potensi yang mampu mengangkat e-sport ke tahap membanggakan.

Katanya, e-sport juga memerlukan kecergasan fizikal kerana tubuh badan yang sihat mampu memberi fokus dalam permainan yang disertai.

Artikel Berkaitan:

"Sebab E-Sport bermain dengan minda. Ada yang berpandangan e-sport tak boleh dikategorikan sebagai sukan kerana tidak libatkan fizikal. Pada hakikatnya sama. Memerlukan kerjasama pasukan dan fizikal yang sihat..kalau tak kita tak boleh fokus.

"Bagaimanapun tidak dinafikan kita juga perlu seimbangkan permainan elektronik dengan sukan tradisional," katanya.

Tambahnya, masyarakat juga perlu realistik melihat perkembangan e-sport kini bukan sekadar untuk meluangkan masa tetapi juga sebagai satu punca menjana pendapatan.

"Sukan tradisi juga mampu menjana pendapatan dengan menjadi pemain-pemain profesional. E-sport juga satu bidang untuk jana pendapatan selagi ia dimanfaatkan dengan betul. Diri sendiri yang menentukan baik atau buruk sesuatu yang kita lakukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!