Kenapa nombor tiba-tiba sahaja popular dan jadi sebutan?
ANGKA dan nombor tiba-tiba sahaja menjadi sebutan, sangat-sangat popular, tular di sana sini, dijadikan ikutan malah menjadi bahan jenaka dan kecaman.
Biasanya bila bercakap soal angka terutamanya berkaitan tarikh hari jadi, tarikh ulang tahun perkenalan, percintaan, pertunangan, perkahwinan wanitalah yang paling cekap.
Bila bercakap tentang angka atau nombor seperti 8.8, 9.9, 10.10, 11.11 atau 12.12, golongan wanitalah paling dulu ternanti-nanti.
Nombor ini terpilih sebagai satu tarikh istimewa untuk wanita berbelanja tanpa had, inilah masanya tawaran murah atas talian berlangsung. Disebut sebagai tawaran harga runtuh!
Merak Jalanan tidak hairan kenapa nombor-nombor berkembar itu jadi pilihan, itulah kebijaksanaan dan strategi orang berniaga.
Mereka melariskan sesuatu dengan menggunakan konsep nombor berkembar. Mereka tahu pasti akan ada yang tertarik.
Akhir-akhir ini, Merak Jalanan mendapati rata-rata wanita makin kerap bercakap tentang dua angka ini. Boleh dikatakan status di laman muka buku jadi kecoh dalam tempoh yang singkat.
Masing-masing sibuk memperkatakan tentang nombor yang sama, cerita yang sama, komen dan kecaman yang juga hampir sama! Nombor 18 dan 19 mula menjadi topik hangat.
Walaupun isi ceritanya tidak ada kaitan tetapi nombor 18 dan 19 tetap dikaitkan dan menjadi bahan lelucon. Merak Jalanan ikut geli hati membaca status dan komen-komen rakan wanita.
Merak Jalanan hampir juga terperangkap. 18 kali mengatur ayat nak muat naik status, akhirnya kali ke-19 Merak Jalanan padam, tak sanggup rasanya hendak terlibat sebab kita tak tahu apa sebenarnya yang berlaku.
Tetapi Merak Jalanan suka nak beritahu, hari ini 11/12/2019 adalah Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-74. Moga tuanku sentiasa dirahmati ALLAH.
Esok? nombor 12/12 pula. Pasti berduyun-duyun kaki ‘shopping’ rebut peluang tawaran hebat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!