Nelayan hilang, bot dibadai ombak

Lokasi nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki dibadai ombak kuat malam tadi.
Lokasi nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki dibadai ombak kuat malam tadi.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut ketika merawai ikan tenggiri bersama seorang rakan dan tekong bot di perairan Muka Head di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.40 malam, mangsa Muhamad Redzuwan Ahmad Shafie, 21, bersama rakannya, Azrun Ahmad, 37, terpelanting ke laut sebaik bot dibadai ombak.

Difahamkan, Muhamad Redzuan tidak sempat memaut bot sebelum dia dilihat terkapai-kapai dan hilang dibawa arus, sebaliknya Azrun sempat naik menyelamatkan diri, manakala tekong terselamat dan kerana hanya terjatuh di dalam bot.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika kejadian, terdapat dua buah bot yang turut berada di sekitar tempat kejadian cuba memberi pertolongan, namun mangsa terus hilang dibawa hanyut deras.

Menurutnya, ketiga-tiga nelayan berkenaan turun ke laut untuk merawai ikan tenggiri sejak jam 4 petang semalam dari Jeti Kuala Muda, Penaga dan kejadian berlaku dalam jarak 30 batu nautika dari jeti berkenaan.

"Azrun yang berjaya naik ke atas bot fiber mereka melihat mangsa terkapai-kapai cuba membuka bajunya, namun dia terus hilang dibawa arus kuat berikutan mangsa tidak pandai berenang.

"Dua mangsa yang terselamat telah membawa bot ke lokasi terakhir Muhamad Redzuwan dilihat terkapai-kapai, namun mangsa tidak ditemui," katanya ketika dihubungi di sini.

Noorzainy berkata, kumpulan nelayan di Kuala Muda, Penaga yang mendapat berita melalui walkie-talkie mengenai kejadian itu menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan bersama beberapa agensi penyelamat yang lain serta dibantu kumpulan nelayan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!