Amirudin dahului penerima darjah kebesaran Selangor
KLANG - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mendahului senarai 91 penerima darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-74 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.
Amirudin dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) iaitu Darjah Kelas Pertama yang membawa gelaran Datuk Seri.
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris pula menerima Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) (Kelas Pertama) yang membawa gelaran Datuk Setia bagi lelaki dan Datin Paduka Setia bagi wanita.
Istiadat pengurniaan darjah dan bintang kebesaran itu berlangsung di Istana Alam Shah di sini.
Mendahului senarai sembilan penerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) (Kelas Kedua) yang membawa gelaran Datuk bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita adalah Ketua Hakim Syarie Selangor, Mohamad Adib Husain.
Penerima DPMS lain ialah Duta Besar Malaysia ke Sweden, Nur Ashikin Mohd Taib, Timbalan Panglima Tentera Laut (TLDM), Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob, Asisten Ketua Staf Markas Tentera Darat (MTD), Mejar Jeneral Datuk Badrul Hisham Muhammad dan Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Datuk Ir Hashim Osman.
Turut menerima DPMS ialah Pengarah Urusan YTL Power International Berhad, Datuk Yeoh Seok Hong, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Selangor, Zamani Ahmad Mansor, Timbalan Naib Canselor UPM (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Zulkifli Idrus serta Bursar UPM, Zulkiflee Othman.
Sementara itu, lapan individu dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) (Kelas Kedua) yang membawa gelaran Datuk bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita.
Mereka ialah dua penerima dari Kerabat Diraja Selangor iaitu Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail Syed Anwar Jamalullail dan Raja Muzaffar Raja Redzwa.
Penerima lain adalah Asisten Ketua Staf Bahagian Komunikasi dan Elektronik, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Muda Shamsuddin Ludin, Ketua Pengarah Hidrografi, Pusat Hidrografi Nasional, Laksamana Muda Hanafiah Hassan serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat.
Tiga lagi penerima ialah Pengarah Urusan Kumpulan Zikay Berhad, Datuk Mohd Khay Ibrahim, Pegawai Protokol Pejabat Sultan Selangor, Ahmad Fasal Zakaria dan Pengarah Tanjung Balai Group, Yap Chong Heong.
Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (SMS) pula seramai 13 individu menerima darjah tersebut antaranya Ketua Bahagian Operasi dan Pembinaan Markas TLDM, Kapten Mahadzir Mokhtar, Pengarah Jabatan Arah Kor Risik Diraja (MTD), Kol. Idros Muhammad dan Pegawai Daerah Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji.
Selain itu, 13 individu lain turut menerima Darjah Kebesaran Setia–Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS), termasuk Kerabat Diraja Selangor, Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad Shah Alhaj, Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Kejuruteraan, Markas Logistik Barat Pangkalan TLDM, Komander Zailara Zainal serta Ketua Operasi Alam Sekitar Worldwide Holdings Berhad, Zamri Abdul Rahman.
Seramai 20 individu pula menerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS) manakala Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS) dan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC) pula masing-masing 19 dan tujuh penerima.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!