Pusat tahfiz rayu bantuan dana beli tanah

Pelajar Akademi Tahfiz Al Hira menghadiri program Busking 4 Dakwah, kelmarin.
Pelajar Akademi Tahfiz Al Hira menghadiri program Busking 4 Dakwah, kelmarin.
A
A
A

BUKIT SENTOSA - Hasrat Pertubuhan Kebajikan Islam Al Hira (Perkisah) memiliki sebidang tanah untuk penempatan baharu Akademi Tahfiz Al Hira bakal terkubur jika gagal melunaskan baki bayaran dalam tempoh tiga bulan.

Berdasarkan surat perjanjian dengan pemilik tanah seluas 0.729 hektar itu pada 11 September 2018, Perkisah membayar deposit RM5,000 dan baki bayaran RM64,000 dalam tempoh enam bulan.

Jika gagal berbuat demikian, perjanjian jual beli tersebut terbatal dan wang deposit 'hangus' sekali gus memusnahkan impian pertubuhan itu memiliki tapak tahfiz baharu.

Sehubungan itu, pengurusan Perkisah merayu bantuan orang ramai supaya impian itu menjadi kenyataan demi perkembangan pendidikan pusat tahfiz yang diusahakan sejak tiga tahun lalu.

Presiden Perkisah, Mohamad Izan Abdullah Halim berkata, pada awal penubuhan, Akademi Tahfiz Al Hira menyewa bangunan kedai di Taman Industri Seroja 5, Bukit Sentosa selama setahun.

Menurutnya, pada awal 2018, pusat tahfiz yang menempatkan 20 pelajar kurang berkemampuan itu berpindah dengan menyewa sebuah rumah di Taman Semarak, Bukit Beruntung sehingga sekarang.

"Perkembangan baik ini menyebabkan pihak pengurusan berhasrat membeli sebidang tanah di Ampang Pechah agar tahfiz memiliki bangunan sendiri.

"Tanah tersebut juga sesuai untuk aktiviti pertanian dengan persekitaran lebih selesa bagi mengikuti sesi pembelajaran.

Artikel Berkaitan:

"Namun kami tidak menyangka berlaku keadaan seperti ini. Kami buntu memikirkan cara melunaskan baki bayaran selain berdepan kehilangan deposit RM5,000," katanya ketika ditemui pada program Busking 4 Dakwah, di sini.

Mohammad Izan berkata, pihaknya turut menjalankan perniagaan kedai nasi kukus bagi menampung perbelanjaan tahfiz.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun bank CIMB 8600640642 atas nama Akademi Tahfiz Al Hira atau menghubungi Mohamad Izan di talian 010-8473123.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!