'Bukan masa untuk main-main lagi'

Lampard tidak berpuas hati dengan corak permainan pasukannya yang tidak efektif terutama ketika menyudahkan peluang di hadapan gol. - Foto EPA Andy Rain
Lampard tidak berpuas hati dengan corak permainan pasukannya yang tidak efektif terutama ketika menyudahkan peluang di hadapan gol. - Foto EPA Andy Rain
A
A
A

PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard memberikan peringatan kepada barisan pemainnya supaya tidak lagi bermain sambil lewa selepas berjaya menempah tiket ke pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-juara Eropah.

Dalam perlawanan di Stamford Bridge awal pagi tadi, The Blues berjaya menewaskan Lille 2-1 sekali gus mara ke peringkat seterusnya sebagai naib juara kumpulan H.

Di sebalik kemaraan tersebut, Lampard nyata tidak berpuas hati dengan corak permainan pasukannya yang tampil tidak efektif terutama menyudahkan peluang di hadapan gol.

"Kami bermain baik pada babak pertama dan 20 minit pada babak kedua. Namun, kami perlu lebih cemerlang memanfaatkan peluang. Hakikatnya kami mengakhiri perlawanan ini dengan kemenangan tipis.

"Pasukan lawan berjaya melakukan dua percubaan di penghujung perlawanan dan salah satunya berjaya membolosi gawang kami. Itu sememangnya sesuatu yang mengecewakan," katanya.

Dua gol Chelsea terhasil melalui Tammy Abraham dan Cesar Azpilicueta sebelum Lille meraih gol saguhati menerusi Loic Remy.

Kata Lampard, beliau mahu para pemainnya mengubah cara permainan tersebut apatah lagi The Blues kemungkinan bakal berhadapan dengan pasukan gergasi seperti Barcelona, Paris Saing Germain dan Bayern Munich dalam peringkat 16 pasukan terbaik.

"Kami mampu mara ke pusingan berikutnya dan saya fikir itu adalah pencapaian yang sangat bagus. Namun, kami tahu lawan kami pada perlawanan akan datang cukup sukar dan pemain perlu kembali bersedia dan memperbaiki setiap kelemahan.

Artikel Berkaitan:

"Melihat lawan yang akan kami hadapi, kami tak boleh lagi membuang peluang atau memberikan mereka peluang dan jika ia berlaku kami akan tersingkir," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!