Tiga penipu skim mata wang kripto RM3 bilion ditahan
LOS ANGELES - Tiga lelaki ditahan berkaitan skim mata wang kripto selepas didakwa menipu pelabur sehingga ratusan juta dolar dari April 2014 hingga bulan ini.
Matthew Brent Goettsche, 37, dari Lafayette, Colorado; Jobadiah Sinclair Weeks, 38, dari Arvada, Colorado dan Joseph Frank Abel, 49, dari Camarillo, California didakwa atas tuduhan konspirasi dalam menawarkan serta menjual sekuriti tidak berdaftar.
Goettsche dan Weeks turut dituduh dengan konspirasi untuk melakukan penipuan kewangan melibatkan penggunaan telekomunikasi atau teknologi maklumat.
Peguam Amerika Syarikat, Craig Carpenito menggambarkan penipuan itu sebagai skim Ponzi moden dan berteknologi tinggi dengan nilai AS$722 juta (RM3 bilion).
"Mereka yang ditahan dituduh menggunakan taktik yang rumit untuk menarik ribuan mangsa dengan janji pulangan besar terhadap pelaburan mereka dalam perlombongan bitcoin, sebuah kaedah menjana keuntungan dalam mata wang kripto.
"Tertuduh juga didakwa membuat ratusan juta dolar dengan terus merekrut pelabur baharu sejak beberapa tahun lalu dan membelanjakan duit mangsa dengan sewenang-wenangnya," kata Penolong Pengarah Pejabat Lapangan FBI Los Angeles, Paul Delacourt. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!