Lebih separuh tiket ETS balik raya Cina habis terjual
BATU GAJAH - Lebih separuh tiket Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi perjalanan musim perayaan Tahun Baharu Cina, Januari depan sudah habis dijual.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menyediakan 143,968 tiket mengikut jadual perjalanan sedia ada bagi tujuan berkenaan.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 77,382 tiket telah terjual meliputi pelbagai destinasi di seluruh semenanjung.
"Tiket perjalanan pada 22 hingga 24 Januari dan 27 hingga 28 Januari masing-masing telah habis terjual, ini mengambil kira hari kemuncak perjalanan pulang bercuti.
"Destinasi popular bagi penjualan tiket ini adalah melibatkan stesen bandar bandar iaitu Gemas-Padang Besar dan Gemas-Butterworth," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvokesyen Akademi KTM Kali ke 4 di Akademi KTMB Batu Gajah hari ini.
Beliau berkata, perkhidmatan tren akan ditambah sekiranya terdapat permintaan melebihi jangkaan.
"Tiket-tiket dijual ini adalah berdasarkan jadual perjalanan sedia ada.
"Jika ada keperluan untuk buat tren tambahan, kita akan maklumkan kemudian dengan lebih awal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!