Kaunter bayaran DBKL ditutup enam hari
KUALA LUMPUR - Kaunter bayaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan ditutup selama enam hari bermula 26 Disember bagi tujuan naik taraf sistem.
Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khairul Azmir Ahmad berkata, kaunter bayaran tersebut akan dibuka semula pada 2 Januari tahun depan.
Menurutnya, kaunter bayaran yang terlibat adalah Jabatan Kewangan DBKL serta Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL.
"Jabatan Kewangan DBKL meliputi kaunter di tingkat bawah Menara DBKL 1 dan pandu lalu, tingkat 6 Menara DBKL 2 serta tingkat 10 pejabat cawangan.
"Sementara bagi Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL pula melibatkan kaunter bayaran di tingkat bawah Menara DBKL 3, kaunter bayaran di pejabat zon dan pejabat-pejabat kecil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pelanggan digalakkan membuat bayaran secara atas talian seperti JomPAY, MyEG dan Maybank2u sepanjang tempoh penutupan tersebut.
"Penutupan tersebut bagaimanapun tidak melibatkan kaunter bagi pembayaran kompaun dan lesen.
"Pembayaran lesen boleh dilakukan di tingkat 5 Menara DBKL 2 manakala kompaun di Jabatan Penguatkuasaan Jalan Tun Razak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!