SPRM akan buka semula kes-kes kepentingan awam: Latheefa

Latheefa (kanan) ketika ditemu bual Bernama Radio di Wisma Bernama hari ini. - Foto Bernama
Latheefa (kanan) ketika ditemu bual Bernama Radio di Wisma Bernama hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka semula beberapa kes lama yang melibatkan kepentingan awam pada awal tahun depan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, beliau telah mengeluarkan satu arahan umum supaya kes berkenaan disemak semula dengan pihaknya memang ada menerima beberapa aduan yang melibatkan kes-kes itu.

"Saya tidak dapat maklumat jelas apa sebab ia (kes-kes lama ditutup), walaupun dikatakan ada bukti-bukti jelas dan penyiasatan yang lengkap.

"Di peringkat mana terdapat arahan untuk menutup kes dan sebagainya," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu jemputan program 'Wanita Sebagai Pemimpin' di Bernama Radio di sini.

Ditanya sama ada kes kepentingan awam berkenaan melibatkan pemerintahan kepimpinan kerajaan terdahulu, beliau berkata,,, ia melibatkan pelbagai kes dan tidak semestinya melibatkan kes kepimpinan kerajaan terdahulu.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan lawatan SPRM di sempadan negara di Padang Besar, Perlis baru-baru ini, Latheefa berkata, SPRM percaya semua pihak berkuasa yang berkaitan telah mengambil tindakan agresif untuk memastikan tiada kebocoran dan kebolosan di sempadan negara.

"Tetapi perkara menjaga sempadan negara ini bukan satu perkara yang boleh dibetulkan dalam tempoh sebulan atau dua bulan kerana ia juga melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa.

"Di peringkat Padang Besar perlu ada fokus untuk menaikkan perniagaan di sana kerana nampak kelengangan. Maka di situ timbul persoalan, adakah peniaga ini juga berniaga di tempat lain atau mereka yang datang beli mencari kedai yang menjual barangan seludup yang lebih murah," katanya,

Artikel Berkaitan:

Latheefa berkata, perkara berkenaan perlu diberi fokus dan mengesan punca salah laku yang mungkin berlaku di kawasan ekonomi Padang Besar.

"Pandangan saya secara peribadi mengenai ekonomi di Padang Besar, saya lihat memang fasiliti-fasiliti untuk membuat perniagaan di sana (Padang Besar) telah lengkap tetapi seolah-olah kekurangan pengunjung di sana walaupun banyak barang dijual.

"Saya berharap pihak berkuasa yang menjaga kawasan terlibat perlu membuat pemantauan dan apa yang menyebabkan orang ramai kurang membeli barangan di sana selain membantu ekonomi di Padang Besar," katanya.

Ditanya mengenai lawatan dan pemeriksaan SPRM di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah baru-baru ini, Latheefa mencadangkan pihak berkuasa terlibat untuk menaik taraf sistem iaitu mengurangkan masa pemprosesan keluar masuk sempadan.

"Ini kerana saya melihat proses keluar masuk sempadan di sebelah Thailand lebih teratur maka kita kena belajar daripada mereka," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!