Hentikan persengketaan, rakyat sedang memerhati: Muhyiddin
PUTRAJAYA - Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegur beberapa pemimpin komponen parti yang dilihat bertelagah sesama sendiri supaya melupakan persengketaan tersebut.
Beliau mahu persengketaan itu diselesaikan segera kerana PH kini menjadi tumpuan rakyat.
Menurutnya, kaedah terbaik ialah mewujudkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan ahli.
"Kalau ada perkara berbangkit, cara terbaik adalah cari jalan penyelesaian," katanya ketika diminta mengulas mengenai pergeseran yang berlaku antara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Muhyiddin ditemui pemberita selepas melepaskan Konvoi Misi Kemanusiaan Banjir di sini.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Kunci Anwar ke Putrajaya di tangan Azmin'
Laluan Anwar ke Putrajaya tidak tergugat
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, rakyat mahu melihat tugas yang dijalankan oleh pemimpin.
"Mereka (rakyat) harap apa yang kita boleh buat untuk bantu rakyat termasuk soal ekonomi, kos sara hidup menyediakan peluang pekerjaan yang banyak dan kemudahan kebajikan. Bukan kerja kita bersengketa sesama sendiri," katanya.
Pergolakan dalaman antara pemimpin tersebut mula panas apabila Mohamed Azmin mengeluarkan kenyataan agar Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir negara sehingga habis penggal sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.
Perang dingin parti berusia 20 tahun itu tidak dapat disembunyikan lagi apabila ratusan 'penyokong' Mohamed Azmin bertindak keluar dewan sewaktu kongres nasional parti itu sedang berlangsung Sabtu lalu.
Kemuncaknya, Mohamed Azmin bertindak tidak hadir pada hari terakhir Kongres Nasional PKR malah dalam satu acara di sebuah hotel di Kuala Lumpur, beliau dilapor mempertikaikan tindakan Anwar menggunakan sejarah Si Kitol dan Raja Mendeliar ketika berucap pada kongres parti itu.
Azmin kesal digelar pengkhianat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!