'Jangan jadi batu api'
KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin diingatkan tidak menghentam pemimpin lain sebaliknya melakukan tugasnya dengan baik.
Ketua Penerangan Wanita PKR, Syarul Ema Rena Abu Samah menyifatkan Ahli Parlimen Hang Tuah sebagai batu api kerana membidas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.
Syarul Ema Rena turut mendakwa Shamsul Iskandar gagal menjalankan tanggungjawab bagi memastikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) berjalan lancar.
"Berhentilah menjadi batu api dan penjilat kerana ia tidak memberi kesan yang baik terhadap imej dan persepsi kepada parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, bagi menangani masalah yang berbangkit ketika ini ia sepatutnya diselesaikan sendiri di antara presiden, timbalan presiden dan naib presiden.
“Apa kita mahukan adalah kenyataan dari presiden menggunakan kebijaksanaan beliau untuk selesaikan isu yang sedang panas ketika ini.
“Kalau Shamsul Iskandar rasa dia nak tunjuk jadi jaguh untuk menegur Zuraida, tunggu dia naik jadi presiden, timbalan presiden dan naib presiden baru sesuai.
"Lebih baik Shamsul Iskandar memfokuskan kepada dasar kerajaan seperti yang telah kerajaan laksanakan daripada sibuk bermain politik," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Mengapa ada pemimpin PKR tak setuju Anwar sebagai PM ke-8?
Laluan Anwar ke Putrajaya tidak tergugat
Sehubungan itu, Syarul Ema Rena menggesa mereka yang tidak menjawat jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden, supaya jangan masuk campur dan tak perlu mengeluarkan sebarang kenyataan semata-mata untuk jadi jaguh mengampu dan mengipas.
“Jangan sampai satu ketika kalian menang sorak kampung tergadai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!